Peluang pemain remaja bukti kemampuan

Antara barisan pemain remaja negara yang akan menggalas cabaran pada Sukan SEA di Hanoi, Mei depan.
Antara barisan pemain remaja negara yang akan menggalas cabaran pada Sukan SEA di Hanoi, Mei depan.
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap keputusan berani persatuan itu menghantar pemain pelapis dan remaja bertanding pada Sukan SEA Hanoi yang dijadual berlangsung Mei depan akan meraih kejayaan pada temasya itu.

Beliau berkata, tindakan mempertaruhkan barisan pemain yang masih dalam proses menimba pengalaman berbanding pemain senior itu juga satu sejarah baharu bagi badan induk berkenaan sepanjang penyertaan mereka pada temasya dwitahunan itu.

Menurutnya, BAM akan kekal meneruskan program peremajaan pasukan kebangsaan untuk memastikan Malaysia tidak ketandusan pemain-pemain baharu.

"Kita berharap pemain-pemain yang diberi peluang mewakili negara akan dapat membawa cabaran negara di sukan SEA dan seterusnya cuba sedaya upaya mencapai kejayaan.

"Kalau lihat bermula daripada Sukan SEA Filipina (2019) BAM telah mengetengahkan pemain-pemain muda dan ia menunjukkan hasil ketika Lee Zii Jia memenangi pingat emas bersama-sama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan S.Kisona, ia merupakan pencapaian terbaik (BAM) dalam masa 40 tahun di Sukan SEA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan antara BAM dan Petronas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara pada Jumaat.

Pada Sukan SEA 2019 di Filipina, Zii Jia merangkul pingat emas dalam acara perseorangan lelaki sementara Aaron-Soh dan Kisona masing-masing meraih emas dalam acara beregu lelaki dan perseorangan wanita sekali gus menyaksikan kem badminton negara membawa pulang keseluruhan tiga pingat emas.

Pada Rabu, BAM memutuskan kombinasi pemain pelapis dan remaja akan dihantar membawa cabaran negara pada sukan SEA Hanoi dari 12 hingga 23 Mei memandangkan penganjuran temasya sukan itu bertindih dengan kejohanan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber di Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Mei.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohamad Norza berkata, beliau gembira dengan kemajuan terbaharu arena badminton tanah air yang kini mempunyai dua 'enjin' masing-masing menerusi BAM dan kumpulan pemain yang bergerak secara bebas.

"Kita mempunyai dua enjin, satu enjin BAM dan enjin profesional yang hari ini (keadaan) sangat sihat dengan adanya Lee Zii Jia di luar sana dan pemain-pemain lain. Ini satu perkembangan sihat kepada badminton negara," katanya. - Bernama