Polis terima 157 aduan, 441 orang tolak vaksin di Kelantan

Muhammad Zaki (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Simpangan Hilir, pada Jumaat.
Muhammad Zaki (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Simpangan Hilir, pada Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Polis Kelantan menerima 157 laporan melibatkan 441 individu yang tidak mahu menerima vaksin Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, 94 daripada laporan berkenaan adalah melibatkan ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka diberi suntikan vaksin.

"Selebihnya adalah melibatkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan daripada kategori lain.

"Laporan paling tinggi diterima adalah melibatkan daerah Tumpat, Kota Bharu dan Pasir Mas," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau sebelum itu hadir solat Jumaat di Masjid Mukim Simpangan Hilir dalam misi menyampaikan bantuan kurniaan daripada Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson kepada 100 penduduk kampung di kawasan berkenaan.

Menurut Muhammad Zaki, antara alasan diberikan adalah tiada keperluan untuk menerima suntikan berkenaan selain bimbang kesan sampingan selepas menerima suntikan.

Sementara itu, mengenai sumbangan yang diberikan, Muhammad Zaki berkata, ia merupakan kiriman Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra dan isteri, Cik Puan Sofie Louise Johansson sebagai tanda prihatin baginda kepada mangsa banjir yang terlibat.

Katanya, sumbangan akan diagihkan kepada penduduk di kawasan-kawasan terjejas seperti Tumpat dan Pasir Mas.

Artikel Berkaitan: