Portal mycveguide.com tingkat kesedaran isu keganasan

Mohd Daud (tengah) menyerahkan cenderhati kepada Ganeson sempena Pelancaran portal sehenti mycveguide.com di ISTAC-IIUM, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mohd Daud (tengah) menyerahkan cenderhati kepada Ganeson sempena Pelancaran portal sehenti mycveguide.com di ISTAC-IIUM, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Portal mycveguide.com yang dilancarkan pada Jumaat merupakan satu inisiatif dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat Malaysia berhubung isu keganasan.

Ketua Pengarah Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Datuk Ganeson Sivagurunathan berkata, mycveguide.com adalah portal sehenti yang menyediakan kandungan berkaitan Mencegah dan Mengawal Ekstremisme Ganas (PCVE) di Malaysia termasuk di peringkat serantau serta global.

“Portal ini bertujuan menyediakan kandungan original dan sumber sekunder mengenai PCVE seperti berita, webinar, latihan, penglibatan, penyelidikan serta sumber lain.

“Ia juga akan berperanan sebagai satu panduan untuk membantu penggubal dasar, penyelidik, pengamal, pelajar dan masyarakat mengenali peranan sektor menentang ekstremisme ganas (CVE) dalam hal keselamatan sekuriti serta orang awam,” katanya ketika pelancaran portal sehenti, mycveguide.com di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM), Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hadir sama, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Brian D Mcfeeters dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Inisiatif itu digerakkan dengan kerjasama SEARCCT, ISTAC-IIUM, Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Mengulas lanjut, Ganeson berkata, kerjasama yang dijalankan dengan MPI itu juga bertujuan mendidik wartawan untuk melaporkan isu berhubung keganasan dengan lebih bertanggungjawab.

"Portal mycveguide.com antara lain akan memaklumkan, melibatkan dan melatih wartawan dengan objektif seperti gunakan fakta dan elakkan bias, gunakan terminologi yang betul berkaitan CVE, sertakan suara pelbagai pihak dan elakkan kandungan bersifat menghasut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, usaha mewujudkan portal tersebut selaras dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (NAPPCVE) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Jelasnya, NAPPCVE ialah inisiatif yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) kepada semua anggota negara untuk memerangi keganasan global di setiap peringkat.

“Melalui pelan ini, pendekatan yang lebih komprehensif dapat diambil merangkumi bukan sahaja langkah pencegahan keganasan berasaskan keselamatan yang berterusan, tetapi juga pencegahan sistematik yang secara langsung dapat menangani pemacu ekstremisme ganas.

"Pendekatan secara tegas dan halus diperlukan dalam NAPPCVE yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang, deradikalisasi, pemulihan dan penyepaduan semula, pendidikan, penglibatan serta jangkauan kepada masyarakat dan kumpulan yang terdedah," ujarnya.