Banjir Kelantan, Terengganu: MAFI dalam proses nilai kerugian

Dr Ronald Kiandee.
Dr Ronald Kiandee.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sedang dalam proses menilai kerugian sektor agromakanan yang terjejas akibat banjir di Kelantan dan Terengganu, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Pada masa ini, katanya anggaran kerugian sektor agromakanan di dua negeri berkenaan berjumlah RM500,000 antaranya melibatkan sektor padi beras, penternakan dan akuakultur.

"Banjir di Kelantan dan Terengganu, kita sedang mengemas kini data kerosakan dalam sektor agromakanan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pertanian Ke-10, di sini pada Khamis

Ronald berkata MAFI telah menyalurkan bantuan berjumlah RM22 juta kepada sektor agromakanan yang terjejas akibat banjir pada Disember lepas, meliputi bantuan untuk memulakan perusahaan.

"Angka (dana disalurkan) itu sentiasa meningkat sebab nilaian ada yang belum tamat lagi dan ada yang bertambah," katanya.

Ronald dalam pada itu berkata, kursus dan latihan di bawah institusi latihan kendalian MAFI akan terus ditambah baik bagi melengkapkan peserta kursus dengan teknologi terkini dalam industri agromakanan dan mendedahkan mereka kepada pertanian moden berteraskan Revolusi Industri 4.0.

Beliau berkata, satu kursus baharu iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Penyelenggaraan Jentera Pertanian akan diperkenalkan bagi pengambilan pada September depan.

Majlis Konvokesyen Pertanian ke-10 itu melibatkan 1,712 graduan yang telah menamatkan pengajian di 14 institusi latihan kendalian MAFI bagi 2020 dan 2021.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, MAFI telah melahirkan seramai 21,759 pelatih berkemahiran dalam sektor pertanian sejak 1969. - Bernama