Empat lelaki diberkas samun pemborong sayur

Dua motosikal disyaki digunakan dalam kejadian samun ke atas seorang pemborong sayur warga Bangladesh, pada Rabu.
Dua motosikal disyaki digunakan dalam kejadian samun ke atas seorang pemborong sayur warga Bangladesh, pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Polis memberkas empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun berkumpulan bersenjatakan parang ke atas seorang peniaga dan pemborong sayur warga Bangladesh di Batu 13, Jalan Gambang di sini, pada awal pagi Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia dari 19 hingga 21 tahun itu ditahan secara berasingan di Felda Chini 3 dan sekitar Kuantan, pada Rabu.

"Suspek masing-masing bekerja sebagai pemandu dan juru kimpal manakala dua lagi penganggur. Hasil ujian air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka bebas dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Wan Mohd Zahari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi Selasa lalu, mangsa yang berusia 38 tahun menaiki lori dipandu pekerjanya dalam perjalanan ke Pasar Borong Selayang.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, lori dinaikinya ditahan empat lelaki menaiki dua motosikal yang berpura-pura memberitahu kononnya pintu bahagian muatan tidak rapat.

"Sebaik sahaja lori itu berhenti, suspek membuka pintu pintu dan terus mengacukan parang di leher mangsa dan pekerjanya," kata beliau.

Menurut Wan Mohd Zahari, suspek menarik beg sandang pemandu lori dan merampas wang tunai milik mangsa berjumlah RM2,500 sebelum melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa gagal mengecam nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek kerana ditutup dan sebuah lagi tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Wan Mohd Zahari
Wan Mohd Zahari

"Dalam kejadian itu, jumlah kerugian dialami kedua-dua mangsa RM2,610 selain kad pengenalan, lesen memandu dan kad bank turut dilarikan," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, ekoran kejadian mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Gambang.

"Susulan laporan polis dibuat mangsa, pihak polis segera melakukan siasatan dan berjaya mengesan serta menahan salah seorang suspek berusia 21 tahun di Felda Chini 3 kira-kira jam 8.30 malam pada Rabu.

"Hasil siasatan lanjut, polis berjaya menahan suspek kedua berusia 19 tahun di kawasan Perumahan Pandan Damai di sini kira-kira dua jam kemudian.

"Susulan penahanan suspek tersebut, polis menemui dan merampas sebuah motosikal jenis Honda Dash, tiga bilah parang, topi keledar dan pakaian yang disyaki digunakan dalam kejadian samun itu," katanya.

Menurutnya, suspek ketiga dan keempat masing-masing berusia 19 tahun ditahan bersama sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 di kawasan Taman Bukit Rangin Aman di sini pada malam hari sama.

"Hasil soal siasat, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun itu.

"Mereka juga mengaku mengambil wang mangsa untuk dibahagikan dan semuanya telah habis dibelanjakan termasuk membayar hutang," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.