Mangsa banjir Terengganu menurun kepada 11,517

Seramai 11,517 penduduk yang terjejas akibat banjir di Terengganu masih ditempatkan di PPS setakat jam 8 pagi Khamis.
Seramai 11,517 penduduk yang terjejas akibat banjir di Terengganu masih ditempatkan di PPS setakat jam 8 pagi Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cuaca cerah dan baik menyebabkan jumlah mangsa banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu terus menunjukkan penurunan.

Sehingga jam 8 pagi Khamis, seramai 11,517 penduduk terjejas masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan, berkurangan berbanding 15,970 orang pada jam 4 petang Rabu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, semua mangsa melibatkan 2,961 keluarga di enam daerah iaitu Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu itu ditempatkan di 50 PPS.

Menurutnya, Kemaman kekal merekodkan jumlah mangsa terjejas banjir paling ramai iaitu seramai 4,967 orang dari 1,289 keluarga dan semua mereka ditempatkan di lapan PPS.

"Di Hulu Terengganu, seramai 4,554 mangsa masih berada di 18 PPS diikuti Dungun (1,478 orang), Kuala Nerus (274 orang), Kuala Terengganu (237 orang).

"Bagi daerah Setiu pula, setakat ini satu PPS masih dibuka di sana bagi menempatkan sebuah keluarga melibatkan tujuh mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, keadaan cuaca di semua daerah dilaporkan baik dan tiada hujan.

"Jika keadaan ini berterusan, kita jangkakan lebih ramai mangsa terjejas banjir akan pulang ke rumah dan PPS ditutup," katanya.

Artikel Berkaitan: