Banjir: Lebih 22,000 mangsa di Kelantan, Terengganu berada di PPS

Sebuah rumah dinaiki air melebihi lima meter sejak Ahad lalu ketika tinjauan Bernama di sekitar Kampung Kubang Sawa. - Foto Bernama
Sebuah rumah dinaiki air melebihi lima meter sejak Ahad lalu ketika tinjauan Bernama di sekitar Kampung Kubang Sawa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 22,709 mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu masih ditempatkan di 86 pusat pemindahan sementara (PPS) pada malam Rabu.

Di TERENGGANU, setakat 8 malam, seramai 14,753 orang daripada 3,829 keluarga berada 65 PPS berbanding 16,183 orang daripada 4,223 keluarga pada 2 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan Kemaman merekodkan mangsa teramai iaitu 6,885 orang diikuti Hulu Terengganu (4,560), Dungun (2,517), Kuala Nerus (386), Kuala Terengganu (398) dan Setiu (tujuh).

Pegawai Daerah Kemaman Ahmad Farhan Abdul Wahab ketika dihubungi berkata walaupun cuaca di daerah itu bertambah baik dan panas terik sepanjang hari, terdapat beberapa lokasi seperti Kampung Pulau Tempurung dan Bandar Baru Bukit Mentok masih mengalami banjir termenung.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai melepasi paras bahaya setakat ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 7,956 orang berbanding 8,806 orang tengah hari pada Rabu dengan kesemuanya ditempatkan di 21 PPS di Pasir Mas dan Tumpat.

JPS juga melaporkan semua sungai utama di negeri itu berada pada paras biasa. - Bernama

Artikel Berkaitan: