Kerajaan bina rumah baharu mangsa banjir di Kelantan: PM

Ismail Sabri (kiri) menyampaikan bantuan BWI kepada mangsa banjir di PPS SK Gelang Mas, Pasir Mas pada Rabu.
Ismail Sabri (kiri) menyampaikan bantuan BWI kepada mangsa banjir di PPS SK Gelang Mas, Pasir Mas pada Rabu.
A
A
A
PASIR MAS - Kerajaan akan membina lima buah rumah baharu milik penduduk di Rantau Panjang, di sini yang musnah akibat banjir pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek bina baharu itu akan dikendalikan oleh pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

"Saya harap mereka yang terlibat, dapat melaporkan segera berhubung perkara ini kepada pejabat daerah atau pemimpin masyarakat di kawasan masing-masing," katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Mas di sini pada Rabu.

Dalam lawatan berkenaan, Ismail Sabri turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir di PPS tersebut.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Menurutnya, selain itu kerajaan akan melunaskan bayaran BWI kepada semua penduduk yang terjejas dengan banjir secepat mungkin sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing.

Beliau berkata, pada masa sama mangsa banjir akan turut menerima baucar pembelian barangan untuk membaiki rumah, barangan elektrik, membaiki kenderaan dan banyak lagi seperti yang diumumkan sebelum ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, setakat ini seramai 9,056 mangsa yang terkesan banjir di Kelantan sementara Terengganu 17,641 mangsa.

Beliau berkata, kerajaan juga akan memberikan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga yang menjadi korban banjir.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini saya difahamkan sudah ada empat kematian yang telah direkodkan di Kelantan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang membuat taksiran berkaitan dengan kerosakan melibatkan infrastruktur awam akibat banjir.