Mohd Azhar sambar RM20,000

A
A
A

Zakril (dua dari kiri) bersama pemenang pertandingan memancing Surfcasting MSekin Wonderland.
Zakril (dua dari kiri) bersama pemenang pertandingan memancing Surfcasting MSekin Wonderland.

SEKINCHAN – Ikan belukang seberat 0.685kg yang dipancing Mohd Azhar Abdullah membawa tuah apabila menjuarai pertandingan memancing Surfcasting MSekin Wonderland di sini, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Mohd Azhar dari Klang, Selangor membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 beserta hamper.

Tempat kedua dimenangi Anuar Jeeran dari Lumut, Perak yang turut menaikkan belukang 0.500kg dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, manakala seorang lagi wakil Perak, Hassan Idris, yang menaikkan ikan duri seberat 0.385kg menduduki tempat ketiga dan menerima RM3,000.

Hadiah kepada pemenang disampaikan wakil MSekin Wonderland, Zakril Hafiz Md Razi. Turut hadir Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Pertandingan kali kedua dianjurkan di MSekin Wonderland itu menyaksikan 390 ikan berjaya didaratkan peserta, kebanyakannya spesis duri, belukang dan semilang.

Sementara itu Md Zali, berkata pihaknya berjaya melaksanakan acara itu dengan pematuhan SOP ketat bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Pihak kami telah berbincang dan menerima pandangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan acara ini. Alhamdulillah, kawalan dan pematuhan SOP di kalangan peserta sangat memuaskan,’’ katanya.

Sementara itu, Md Zali berkata pihaknya akan menganjurkan satu lagi acara memancing di Pantai Puteri, Melaka pada 26 Mac ini yang menawarkan hadiah bernilai hampir RM100,000.

Acara itu, katanya adalah acara terakhir sebelum umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, yang bermula 3 April depan.