Pengundi baharu belum tentu pilih calon muda

PRN Johor pada 12 Mac ini pastinya dinanti-nantikan kerana inilah kali pertama anak muda seawal usia 18 tahun boleh mengundi. - Gambar hiasan
PRN Johor pada 12 Mac ini pastinya dinanti-nantikan kerana inilah kali pertama anak muda seawal usia 18 tahun boleh mengundi. - Gambar hiasan
A
A
A

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini pastinya dinanti-nantikan kerana inilah kali pertama anak muda seawal usia 18 tahun boleh mengundi.

Disebabkan faktor ini juga, tidak menghairankan apabila penamaan calon Sabtu lalu menyaksikan daripada 239 calon bertanding, terdapat 63 calon berusia 40 tahun ke bawah mencuba nasib.

BN mempertaruhkan 14 individu muda ini, diikuti Perikatan Nasional (13), Pejuang (11), Pakatan Harapan (10), Muda (7), Parti Keadilan Rakyat (4) dan Parti Bangsa Malaysia (2).

Malah ada lapan calon termuda berusia bawah 30 tahun yang turut memberi warna dan merancakkan PRN kali ini.

Senario parti bertanding berlumba-lumba mengetengahkan calon muda tidak lain dan tidak bukan sudah pastilah strategi untuk membeli jiwa dan menarik perhatian pengundi baharu.

Tak salah mencuba kerana manalah tahu, dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pelaksanaan pendaftaran automatik dan Undi 18, ia bakal memberi nafas baharu kepada pentadbiran kerajaan Johor.

Namun dalam keterujaan itu, harus diingat bahawa Undi 18 juga bukanlah penentu kejayaan mana-mana parti.

Anak muda tak semestinya memilih orang muda, dan daripada jumlah sebanyak itu, tidak mungkin juga semuanya turun mengundi.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan ekonomi negara merudum, harga barang keperluan melonjak dan suasana politik juga kesihatan yang tidak stabil, apa yang rakyat harapkan adalah pemimpin daripada parti yang mampu membawa mereka keluar daripada semua situasi tidak enak ini.

Sudah tentu calon yang mempunyai rekod bersih menjadi fokus utama apatah lagi jika personalitinya disenangi masyarakat.

Paling penting, calon perlu berpijak di bumi nyata, tidak hanya menjanjikan bulan bintang terang yang kemudian apabila menang, dirinya perlahan-lahan hilang dalam gelap malam.

Kepada calon muda, selamat berjuang dan semoga mampu membawa perubahan kepada negeri penuh takzim ini.

Kepada pengundi muda pula, masa depan Bangsa Johor di tangan anda!