Mahkamah batal rayuan pendakwaan terhadap Farid Kamil

Farid Kamil
Farid Kamil
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin, membatalkan rayuan pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menggantikan hukuman penjara empat bulan terhadap pelakon dan pengarah, Farid Kamil Zahari kepada denda RM500.

Peguam, Kee Wei Lon yang mewakili Farid Kamil, 41, berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan gagal mendapatkan lanjutan masa untuk memfailkan rayuan pada prosiding terdahulu.

"Hari ini ditetapkan untuk prosiding sebutan bagi kes rayuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

"Mahkamah membatalkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menggantikan hukuman penjara terhadap anak guam saya, kepada denda RM500 mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967," katanya ketika dihubungi media pada Isnin.

Pada 5 Januari lalu, tiga panel hakim tersebut menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan lanjutan masa pemfailan petisyen rayuan terhadap hukuman di bawah Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana pihak pendakwaan tidak menyatakan sebab yang mencukupi bagi menyokong permohonannya itu.

Panel juga menolak permohonan Farid Kamil untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap sabitan dan denda RM5,500 bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan di balai polis, empat tahun lalu.

Permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan di bawah Seksyen 50(2) Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 diperlukan kerana kedua-dua kes bermula dari Mahkamah Majistret.

Pada Jun 2020, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid Kamil selepas didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Nanun, pada 23 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menggantikan hukuman penjara bagi kesalahan melibatkan kekerasan jenayah kepada denda RM5,000 manakala hukuman penjara empat bulan kerana mengeluarkan perkataan tidak sopan digantikan dengan denda RM500.

Dalam prosiding, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azmi Mashud.