Mangsa banjir Terengganu meningkat 13,971 orang

Pasukan penyelamat sedang membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir.
Pasukan penyelamat sedang membantu memindahkan mangsa yang terjejas banjir.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu terus meningkat kepada 13,971 orang berbanding 11,137 orang pada jam 8 pagi.

Sehingga jam 4 petang Isnin, seramai 3,875 keluarga yang terjejas kini ditempatkan di 160 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan berkata, Kemaman kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan seramai 4,420 penduduk dari 1,178 keluarga dipindahkan ke 23 PPS.

“Sebanyak 28 PPS diaktifkan di Hulu Terengganu bagi menempatkan 3,696 mangsa dari 1,041 keluarga yang terjejas banjir diikuti Besut (1,622 orang), Dungun (1,999 orang) dan daerah Setiu seramai 1,291 orang dari 401 keluarga,” katanya.

Menurut kenyataan itu, daerah Kuala Terengganu turut menunjukkan peningkatan apabila 615 mangsa dari 166 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS.

“Bagi kawasan Kuala Nerus, seramai 324 mangsa direkodkan di kawasan itu dan semua mereka dipindahkan ke tujuh PPS manakala daerah Marang pula kekal lima mangsa di sebuah PPS,” katanya.

Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiga stesen masih merekodkan bacaan air sungai melebihi paras bahaya iaitu Paya Paman di Kemaman, Jambatan Jerangau di Dungun dan Kampung Bukit di Setiu.

Artikel Berkaitan: