Perak beri RM100,000 bantu pembedahan katarak B40

Dana Perubatan Wanita dan Dana Perubatan Warga Emas turut diteruskan dengan peruntukan RM100,000 setiap satu

Wan Norashikin (dua dari kanan) menyempurnakan gimik penyerahan dana RM100,000 kepada Pengerusi Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan, Zulkifly Zakaria ketika Majlis Pelancaran Dana Perubatan Sinar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Wan Norashikin (dua dari kanan) menyempurnakan gimik penyerahan dana RM100,000 kepada Pengerusi Kumpulan Perubatan Ar-Ridzuan, Zulkifly Zakaria ketika Majlis Pelancaran Dana Perubatan Sinar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menyediakan peruntukan RM100,000 untuk rakyat di negeri ini bagi menjalani pembedahan katarak melalui Dana Perubatan Sinar yang diperkenalkan buat julung kalinya pada tahun ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, dana tersebut disediakan khusus untuk golongan B40 yang mengalami masalah penglihatan dan memerlukan pembedahan katarak dengan kerjasama Hospital Ar-Ridzuan, di sini.

Menurutnya, pakar oftalmologi di Hospital Ar-Ridzuan akan melakukan diagnosis terhadap pesakit dan kemudian membuat permohonan bagi dana tersebut untuk mereka menjalani pembedahan.

"Setiap pemohon yang layak diberikan subsidi sehingga RM3,000 bagi pembedahan katarak. Mereka yang berminat boleh terus ke Hospital Ar-Ridzuan dan ia dibuka kepada semua rakyat di negeri ini yang berusia 50 tahun ke atas.

"Dana Perubatan Sinar ini khusus untuk mereka yang berada di bawah kumpulan B40. Kita nak bantu mereka ini bagi menjalani kehidupan yang lebih baik supaya mereka boleh terus bekerja, membaca dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Dana Perubatan Sinar di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.

Beliau berkata, Dana Perubatan Sinar bagi pembedahan katarak itu diwujudkan susulan kejayaan Dana Perubatan Wanita dan Dana Perubatan Warga Emas yang dilancarkan sebelum ini.

Sementara itu, Wan Norashikin berkata, kerajaan negeri turut meneruskan pemberian dana sebanyak RM100,000 bagi Dana Perubatan Wanita untuk pembuatan tapak dialisis dengan kerjasama Hospital Pakar KPJ Ipoh.

Menurutnya, jumlah yang sama juga diperuntukkan bagi Dana Perubatan Warga Emas kendalian Hospital Pakar Komuniti Perak yang sudah memasuki tahun ketiga.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sehingga kini 49 individu yang layak telah mendapat manfaat menerusi penyediaan bagi dua dana tersebut manakala Dana Perubatan Sinar baharu dilancarkan pada tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Norashikin menasihatkan orang ramai supaya memastikan kesahihan sebarang berita atau maklumat yang diterima menerusi media sosial sebelum menyebarkan perkara itu terutama melibatkan penerimaan bantuan kerajaan.

Katanya, mereka juga perlu mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua belah pihak sebelum memberikan komen atau membuat kesimpulan berdasarkan kejadian yang tular.