RM12 juta baiki jalan di 67 lokasi di Ipoh

RUMAIZI
RUMAIZI
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperuntukkan RM12 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan bagi fasa pertama melibatkan 67 lokasi di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pelaksanaan kerja-kerja bagi fasa pertama itu bermula pada pertengahan Mac 2022 sehingga Julai 2022.

Menurutnya, kawasan terlibat membabitkan jalan-jalan utama di kawasan MBI, pusat bandar, perumahan dan perindustrian sepanjang 56 kilometer (km).

RUMAIZI - DATUK BANDAR IPOH
RUMAIZI - DATUK BANDAR IPOH

"Sejak kebelakangan ini, kami menerima banyak aduan dan komen daripada pelbagai pihak berkaitan kualiti jalan raya di kawasan pentadbiran MBI. Kebanyakan isu-isu dibangkitkan berkaitan kerosakan jalan seperti lubang, jalan beralun, tampalan jalan oleh agensi utiliti yang tidak sempurna serta kerosakan akibat banjir, takungan air dan sebagainya. Ini menyebabkan ketidakselesaan pengguna lalu lintas serta mengancam keselamatan mereka.

"Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Kejuruteraan MBI mengenalpasti jalan-jalan yang perlu dinaiktaraf dan diturap semula bagi menjamin keselamatan pengguna lalu lintas berdasarkan kepada keutamaan dan peruntukkan yang diperolehi," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Dewan Mesyuarat MBI di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Rumaizi berkata, antara jalan terlibat dalam penurapan tersebut termasuk Jalan Bercham sepanjang 3.89 km yang difahamkan paling banyak aduan diterima daripada penduduk.

Katanya, tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja penurapan tersebut akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi iaitu Puncak Emas Infra Sdn Bhd melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (Marris).