Jumlah PPS, mangsa banjir di Kelantan, Terengganu meningkat petang ini

Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu selepas kediaman mereka dinaiki air pada Ahad. -Foto: Bernama
Sebahagian mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu selepas kediaman mereka dinaiki air pada Ahad. -Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hujan lebat berterusan di Kelantan dan Terengganu mengakibatkan jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu terus meningkat pada petang Ahad berbanding sebelah pagi.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 5,722 orang daripada 1,736 keluarga setakat jam 4 petang Ahad berbanding 4,335 orang daripada 1,287 keluarga pada sebelah pagi melibatkan 102 PPS yang beroperasi.

PPS tersebut merangkumi lapan daerah di Terengganu iaitu Setiu dengan 25 buah, Besut (24), Kemaman (19), Hulu Terengganu (16), Dungun (11), Kuala Nerus (lima), Kuala Terengganu (satu) dan Marang (satu).

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, jumlah mangsa tertinggi masih di daerah Kemaman iaitu 1,924 orang, diikuti Setiu (1,039), Hulu Terengganu (1,001), Dungun (804), Besut (709), Kuala Nerus (202), Kuala Terengganu (38) dan Marang (lima).

Sementara itu di Kelantan pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,018 orang daripada 2,019 keluarga setakat jam 5 petang berbanding 3,222 orang daripada 1,034 keluarga pada pagi Ahad.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 64 PPS dibuka melibatkan tujuh jajahan iaitu 16 di Kuala Krai, masing-masing 15 di Pasir Mas dan Tanah Merah, lapan di Jeli, enam di Pasir Puteh, tiga di Machang manakala satu di Kota Bharu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Wildan Azhari berkata, sebanyak 12 operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir telah dilaksanakan pihaknya melibatkan 52 mangsa, sejak Jumaat. - Bernama

Artikel Berkaitan: