Mora kekal selepas JDT julang Piala Sumbangsih

Pemain-pemain JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih setelah menewaskan KL City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar pada Sabtu.- Foto Bernama
Pemain-pemain JDT meraikan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih setelah menewaskan KL City FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar pada Sabtu.- Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora lebih daripada gembira untuk meneruskan tugas bersama juara Liga Super lapan kali itu menjelang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Kegembiraan itu diluahkan Mora selepas JDT berjaya melakar kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali kelima berturut-turut berikutan kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, malam Sabtu.

Mora berkata, beliau tidak akan meninggalkan skuad Harimau Selatan itu dan mahu berkhidmat dengan pasukan untuk tempoh yang lama.

"Tidak (letak jawatan)... saya sambung kontrak lagi (sambil ketawa), sudah tentu kegembiraan saya untuk melatih pasukan ini. Saya sangat bersemangat untuk memberikan yang terbaik, saya tahu saya mempunyai banyak kepercayaan terhadap pemain dan banyak kepercayaan kepada kelab bahawa kami mempunyai elemen untuk menang.

"Jadi tidak, saya tidak letak jawatan, saya rasa TMJ (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) tidak letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam Sabtu.

Sebelum ini, semasa sidang media praperlawanan Jumaat lepas, Mora berkata beliau akan mengikut jejak langkah Tunku Ismail yang juga pemilik pasukan untuk bersara daripada arena bola sepak sekiranya JDT tewas kepada KL City dalam perebutan Piala Sumbangsih.

Tunku Ismail sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong JDT selepas meninggalkan komen pada catatan Instagram rasmi pasukan itu, menzahirkan hasrat untuk ‘menarik diri’ daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dalam negara.

Pada pertembungan malam tadi, jaringan pemain tengah Muhamad Nazmi Faiz Mansor dan penyerang import baharu Fernando Forestieri masing-masing meletakkan JDT mendahului pada separuh masa pertama sebelum pemain gantian Mohd Afiq Fazail melengkapkan malam gemilang pasukan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu turut menyaksikan JDT menjulang Piala Sumbangsih buat kali ketujuh dalam lapan musim.

JDT akan menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim pada pembukaan musim mereka pada 4 Mac dan mengintai untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super untuk rekod kali kesembilan berturut-turut. - Bernama