Meng Yean mahu bentuk pasangan juara

Meng Yean
Meng Yean
A
A
A

JURULATIH beregu wanita Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu dilantik, Lee Meng Yean percaya beliau mempunyai keupayaan untuk membentuk gandingan negara yang mampu muncul juara dalam mana-mana kejohanan yang mereka sertai pada masa depan.

Meng Yean, yang merupakan bekas pemain beregu wanita utama negara, yakin pengalamannya bertanding di kejohanan peringkat tinggi sebelum ini, dapat membantu pasangan Malaysia mengharungi cabaran menentang pemain terbaik dunia suatu hari nanti.

Apa yang lebih penting, ketua pasukan Piala Uber 2020 itu gembira dapat kembali menyertai BAM dan berjanji untuk memperbaiki tahap mental dan fizikal anak buahnya ketika mereka turun ke gelanggang.

"Saya akan kongsi pengalaman dan bantu beregu wanita dapatkan (hasilkan) kejuaraan serta keputusan yang baik. Saya boleh bantu mental serta fizikal mereka kerana semua kejohanan besar saya dah pergi dan sertai,” katanya dalam petikan audio dikongsi pada Sabtu.

Berdasarkan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Meng Yean bersama gandingannya sebelum ini, Chow Mei Kuan, yang memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2019 masih berada di kedudukan tertinggi negara dan di tangga ke-11 dunia.

Selain Meng Yean, BAM dalam kenyataan pada 25 memaklumkan turut mengikat Ahli Fisiologi Kanan Institut Sukan Negara (ISN) Dr Tim Jones sebagai pengarah prestasi tinggi di persatuan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: