3,434 mangsa banjir di Terengganu dipindahkan

Antara kediaman dinaiki air di Kampung Kepah, Hulu Terengganu.
Antara kediaman dinaiki air di Kampung Kepah, Hulu Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 3,434 orang daripada 985 keluarga dipindahkan ke 67 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah melibatkan Kemaman, Hulu Terengganu, Besut, Dungun dan Setiu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, sehingga jam 4 petang pada Sabtu, jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman bertambah dengan merekodkan seramai 1,995 mangsa daripada 539 keluarga ditempatkan di 21 PPS.

Selain itu, seramai 562 orang daripada 207 keluarga berpindah ke 16 PPS di Hulu Terengganu, 471 mangsa daripada 106 keluarga di 15 PPS di Besut, 305 mangsa daripada 105 keluarga di 10 PPS di Setiu dan 101 orang daripada 28 keluarga di lima PPS di Dungun.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, beberapa jalan di lima daerah ditutup kepada semua kenderaan kerana dinaiki air.

Antara jalan terlibat ialah Jalan Pelantoh (Kampung Pelantoh) yang dinaiki air setinggi 0.85 meter (m), Jalan Teladas Air Putih (Jambatan Lama Teladas) yang ditenggelami air 0.8m, Jalan Air Putih (Masjid Kampung Tebak- 0.76m), Jalan Air Putih (susur keluar Tol Chukai - 0.2m) dan Jalan Air Putih (Kampung Dadong-Sawah Padi setinggi 0.76m) di Kemaman.

Di Besut pula laluan terlibat ialah Jalan Jerteh-Keruak (Kampung Duek) dan Jalan Jerteh- Keruak (Kampung Jerubun) masing-masing turut ditenggelami air sedalam 0.80m manakala di Setiu pula, penutupan di Jalan Pengkalan Merbau-Pelong (Kampung Seri Kenangan) yang dinaiki air sedalam 1.25m.

Daerah Dungun pula melibatkan Jalan Tepus-Kuala Jengai ( Kampung Rantau Panjang) ditutup kerana ditenggelami air sedalam 0.76m manakala di Hulu Terengganu, laluan ditutup di Jalan Simpang Gaung- Simpang Sungai Tong (Kampung Kuala Ping setinggu 1.2m) dan Jalan Bukit Diman- Tersat (Kampung Pengkalan Ajal setinggi 1.90m).

Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, lapan sungai di lima daerah di Terengganu telah melepasi paras bahaya.

Artikel Berkaitan:

Antara sungai terlibat Sungai Chalok, Sungai Setiu dan Sungai Nerus di Setiu, Sungai Telemong di Hulu Terengganu, Sungai Marang (Marang), Sungai Kemaman dan Sungai Tebak (Kemaman) serta Sungai Dungun (Dungun).