Pengkalan Sepit Biru lubuk udang galah di Pinang Tunggal

Inisiatif penduduk dan nelayan tempatan membangunkan kawasan Pengkalan Sepit Biru di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal di sini membantu mereka menjana pendapatan. Pengunjung menunjukkan hasil tangkapan udang galah yang diperolehi.
Inisiatif penduduk dan nelayan tempatan membangunkan kawasan Pengkalan Sepit Biru di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal di sini membantu mereka menjana pendapatan. Pengunjung menunjukkan hasil tangkapan udang galah yang diperolehi.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pengkalan Sepit Biru di Kampung Permatang Berangan, Pinang Tunggal di sini menjadi tumpuan berikutan mula dikenali sebagai lubuk udang galah sejak dibangunkan pada 2020.

Inisiatif penduduk melalui Persatuan Sepit Biru telah menghidupkan kawasan berkenaan sekali gus menjadi sasaran kaki pancing dari seluruh negara.

Pengerusi Persatuan Sepit Biru, Mohd Nadzri Yaacob berkata, kerjasama erat ahli persatuan yang terdiri daripada golongan nelayan, penduduk kampung serta peminat aktiviti air membolehkan kawasan itu terus dikenali dengan penyediaan pelbagai kemudahan yang sentiasa dipertingkatkan.

"Kawasan ini terkenal sebagai lubuk udang galah dan ikan sungai yang bukan sahaja menjadi sumber pendapatan utama penduduk kampung, malah kini menjadi tumpuan pengunjung untuk sama-sama menjalankan aktiviti sukan air di perairan Sungai Muda ini," katanya.

Beliau berkata, selain berpeluang menjalankan aktiviti memancing dengan perkhidmatan sewa bot disediakan penduduk, pengunjung juga boleh menikmati keindahan alam dengan merasai pengalaman menaiki bot pelancong yang melintasi sempadan dua negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang.

Omar (belakang) menyediakan perkhidmatan sewa bot bagi memberi peluang pengunjung berekreasi dan menikmati pemandangan indah perairan Sungai Muda.
Omar (belakang) menyediakan perkhidmatan sewa bot bagi memberi peluang pengunjung berekreasi dan menikmati pemandangan indah perairan Sungai Muda.

"Sewa bot dengan kadar harga antara RM60 hingga RM250 bergantung kepada jumlah penumpang, mereka juga diberi peluang jika nak singgah di restoran terapung.

"Ada yang sewa bot untuk memancing, sangat berbaloi terutama bila dapat udang galah," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Jawatankuasa Persatuan Sepit Biru, Azli Ismail berkata, kehadiran pengunjung di jeti tersebut semakin bertambah khususnya pada cuti umum dan hujung minggu.

"Kawasan lapang dan luas di sini juga menjadi lokasi berhimpun ahli keluarga berkelah, bermain wau selain menikmati pengalaman menaiki bot untuk memancing dan rekreasi," katanya.

Nelayan darat, Rosli Hamat, 50, berkata, setiap kali tiba musim udang galah, penduduk kampung tidak melepaskan peluang meraih pendapatan dengan hasil tangkapan yang dijual dengan harga mencecah ratusan ringgit sekilogram di pasaran.

Pengunjung boleh merasai pengalaman menaiki bot yang dibawa melintasi sempadan negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Pengunjung boleh merasai pengalaman menaiki bot yang dibawa melintasi sempadan negeri Kedah dan Pulau Pinang.

"Sekarang, jeti ini bukan sahaja menjadi tumpuan nelayan malah pengunjung luar juga datang menyewa bot untuk memancing dan berekreasi,"katanya.

Ahli persatuan, Omar Rashid, 60, berkata, perkhidmatan sewa bot pelancong miliknya disediakan dengan kadar RM150 hingga RM250 bergantung jarak perjalanan antara 10 hingga 23 kilometer yang boleh memuatkan sembilan penumpang dalam satu-satu masa.

"Dengan adanya usaha sama pelbagai pihak, saya yakin inisiatif ini bukan sahaja dapat membangunkan kawasan luar bandar malah meningkatkan taraf hidup penduduk di sekitar kampung ini," katanya.