Bekas tapak pembuangan sampah punca bau busuk

Bau busuk datang dari bekas tapak pembuangan sampah berhampiran rumah penduduk.
Bau busuk datang dari bekas tapak pembuangan sampah berhampiran rumah penduduk.
A
A
A

PUCHONG - Penduduk Taman Kinrara 4 di sini menghadapi masalah bau busuk cecair tercemar (leachate) yang datang dari sebuah lot tanah berhampiran.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, siasatan mendapati bau busuk itu berkemungkinan kesan daripada bekas tapak pembuangan sampah di lokasi tersebut.

Menurutnya, Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar mengarahkan penyelesaian segera dilakukan.

"Pada Rabu lalu, semua pemilik tanah telah dipanggil untuk membincangkan penyelesaian terhadap isu secara bersama.

"Hasil daripada mesyuarat tersebut, memutuskan untuk syarikat Worldwide Holding Bhd bagi menjalankan kerja-kerja mengenal pasti punca cecair tercemar di dalam tanah serta menjalankan proses mengeluar dan merawat cecair tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, proses kerja dimulakan pada Khamis melibatkan kerja-kerja pengorekan di beberapa perigi di dalam kawasan lot tanah berkenaan.

"Ia bertujuan menakung cecair dalam tanah dan seterusnya menyedut cecair tercemar tersebut keluar ke dalam lori tangki dan dibawa ke loji Worldwide untuk dirawat sebelum dilupuskan.

"Kos kerja-kerja yang dilakukan ini akan ditanggung oleh pemilik tanah dan akan dipantau oleh pihak MBSJ," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemilik tanah turut diberi amaran untuk mengikut prosedur yang telah ditetapkan dengan memohon kebenaran daripada MBSJ sekiranya ingin menjalankan sebarang pemajuan, pembangunan atau kerja-kerja tanah.