Putin sama seperti Nazi

Putin juga berulang kali menuduh Ukraine cuba 'menghapuskan' penutur bahasa Rusia di wilayah timur Kiev. - Foto AFP
Putin juga berulang kali menuduh Ukraine cuba 'menghapuskan' penutur bahasa Rusia di wilayah timur Kiev. - Foto AFP
A
A
A

BRUSSELS - Tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin cuba memusnahkan Ukraine adalah sama seperti dilakukan rejim Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

"Putin kononnya cuba untuk menghapuskan ideologi neo-Nazi, namun pada masa yang sama beliau sendiri berkelakuan seperti Nazi. Kesemua agenda ini sudah ada dalam fikirannya," kata jurucakap Kesatuan Eropah (EU), Peter Stano ketika menjawab tentang kempen pencerobohan yang dilancarkan pemimpin tersebut yang turut mendapat julukan 'Tsar moden'.

Menurutnya lagi, Putin sentiasa bercakap tentang usaha menghalang pembunuhan beramai-ramai.

"Tetapi, beliau cakap tidak serupa bikin kerana Putin sendiri sedang melakukan genosid ke atas rakyat Ukraine. Matlamat utamanya adalah untuk memusnahkan Kiev dan merampas kemerdekaan negara itu. Beliau sengaja mahu menyebabkan penderitaan kepada rakyat negara itu yang sememangnya satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan," tegasnya.

Beberapa minggu sebelum 'operasi khas' itu dilancarkan, Putin juga berulang kali menuduh Ukraine cuba 'menghapuskan' penutur bahasa Rusia di wilayah timur Kiev.

Pada Isnin, pemimpin itu turut mempersoalkan hak kewujudan Ukraine dan menuduh pemerintahnya sebagai rejim neo-Nazi yang disokong Barat.

Putin tanpa bukti menuduh Barat menutup mata terhadap pembunuhan beramai-ramai yang terpaksa ditanggung empat juta penduduk yang majoritinya bertutur dalam bahasa Rusia di timur Kiev.

Pada 2014, konflik yang tercetus di wilayah pemisah itu telah meragut lebih 14,000 nyawa. - AFP

Artikel Berkaitan: