Perak FC sahkan 20 pemain akan beraksi dalam Liga M

Kenyataan akhbar Muhammad Yunus mengenai pendaftaran pemain Perak FC dalam saingan Liga Malaysia.
Kenyataan akhbar Muhammad Yunus mengenai pendaftaran pemain Perak FC dalam saingan Liga Malaysia.
A
A
A

PERAK FC mengesahkan akan menurunkan 20 pemain untuk beraksi di dalam saingan Liga Malaysia yang dijadual berlangsung pada 5 Mac nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakaria berkata, pihaknya akan memastikan pemain-pemain yang telah didaftarkan boleh bermain meskipun berdepan sekatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan pemain baharu.

Menurutnya, penyertaan Perak FC di dalam saingan Liga Malaysia merupakan sebahagian daripada komitmen kelab ke arah transformasi menyeluruh dan pembaharuan di bawah pengurusan baharu, Impact Media and Communication (IMC).

"Jika diizinkan, kami ingin menurunkan susunan yang lebih kompetetif kerana percaya ia akan memberikan kelebihan dalam Liga Malaysia.

"Bagaimanapun barisan permulaan kami ini tidak boleh dipandang sebelah mata kerana kami memang bersemangat untuk bertanding. Kami memang merancang untuk membuat pendaftaran penuh pemain semasa jendela perpindahan pemain dibuka pada bulan Mei nanti," katanya kepada menerusi satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Menurutnya, Perak FC akan menampilkan barisan hadapan dengan pemain-pemain berpotensi seperti Royyizat Daud, Khairul Syafiq dan Alif Zikri.

Muhammad Yunus menjelaskan Perak FC dikenakan sekatan untuk mendaftar pemain baharu atau meminjam sebarang pemain sehingga proses penyelesaian tunggakan hutang gaji pemain lama selesai.

Jelasnya, Perak FC hanya diberikan kebenaran untuk menurunkan pemain-pemain asal yang telah diluluskan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Kami komited untuk menyelesaikan semua isu-isu yang tertangguh termasuk semua tunggakan kerana ia penting bagi memastikan semua pemain boleh beraksi untuk Perak FC.

"Ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami ke arah transformasi kelab yang berjaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Perak FC sedang melalui proses pengukuhan struktur untuk memastikan amalan tadbir urus baik dan profesional.