Sambutan masyarakat Lubnan, tanda kerjasama awam, tentera berjaya

Affendi
Affendi
A
A
A
KUALA LUMPUR - Keyakinan serta penerimaan positif masyarakat Lubnan terhadap Batalion Malaysia 850-9 (MALBATT 850-9) menandakan kejayaan Program Kerjasama Awam dan Tentera yang dilaksanakan di negara itu.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, penglibatan ATM dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sejak 2007 hingga kini, telah meningkatkan imej Malaysia dan pasukan keselamatan itu.

Beliau berkata, ATM bersama-sama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei menerusi peranan yang digerakkan kontinjen MALBATT sangat dikenali dan dihormati oleh masyarakat Lubnan.

Katanya, ini adalah berikutan sikap profesional yang dipamerkan setiap pegawai dan anggota kontinjen melalui Program Kerjasama Awam dan Tentera bagi misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-CIMIC).

"MALBATT 850-9 terus diyakini apabila usaha membina persefahaman serta penerimaan positif kontinjen berkenaan diperkukuh tanpa mengabaikan konsep ‘memenangi jiwa dan minda’ terhadap penduduk tempatan setiap kali program CIMIC dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Artikel Berkaitan:


Affendi berkata, kesinambungan gerak kerja itu menjadi antara agenda utama seterusnya, sebagai usaha memperkasa jaringan perhubungan bersama komuniti tempatan untuk menjadi kontinjen PBB yang dihormati.

Beliau yang melawat kontinjen MALBATT 850-9 di Lubnan, turut merasmikan Pusat Fisioterapi MALBATT di Haidar Khalil Medical Centre, Ma’rakah, disaksikan oleh Datuk Bandar Ma’rakah Adel Saad dan pengarah pusat perubatan itu Ali Trad. - Bernama