Dua anggota APM maut, kereta langgar belakang treler

Keadaan kereta jenis Proton Wira yang remuk selepas melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 142.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di Maran, Pahang.
Keadaan kereta jenis Proton Wira yang remuk selepas melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 142.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) di Maran, Pahang.
A
A
A

MARAN - Dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) maut manakala seorang cedera parah selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 142.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 di sini, jam 2.55 petang, pada Khamis.

Dua yang maut iaitu pemandu kereta, Muhammad Nur Izzuddin Mohd Razali, 21, dan penumpang hadapan, Siti Fairuz Adnan, 28, manakala mangsa yang cedera dikenali Zulfardliyana Mat Daud, 34.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan Ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan.

"Susulan itu, kenderaan dipandu melanggar bahagian belakang sebuah treler yang berada di lorong perlahan.

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang belakang mengalami kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memaklumkan mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi kejadian adalah jalan lurus dua lorong satu hala dan semasa kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.