MFL umum kerjasama dengan Pos Malaysia

Ab Ghani dan Brewer melakukan gimik kerjasama berkenaan pada Khamis. - Foto MFL
Ab Ghani dan Brewer melakukan gimik kerjasama berkenaan pada Khamis. - Foto MFL
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Khamis, mengumumkan kerjasama bersama Pos Malaysia yang akan menyokong semua pasukan liga sebagai rakan logistik rasmi bagi tahun 2022 dan 2023.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, Pos Malaysia telah menandatangani perjanjian dua tahun bermula 2022 sebagai rakan logistik rasmi bagi MFL merangkumi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super dan TM Piala Malaysia.

Stuart turut menyatakan bahawa Pos Malaysia merupakan tambahan yang menarik kepada bola sepak iaitu sukan nombor satu negara, melalui capaian meluas dan perkhidmatan komuniti yang pelbagai.

“Mewakili Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan, lembaga pengarah dan komuniti bolasepak, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Pos Malaysia ke Liga Malaysia 2022 dan 2023 dan sudah pasti MFL menyambut baik ketibaan mereka dalam merancakkan lagi saingan Liga Malaysia yang bakal bermula 4 Mac 2022.

“Ikatan MFL dan Pos Malaysia sebenarnya sudah terjalin di mana kedua-dua pihak bekerjasama dalam mengeluarkan setem edisi khas sempena 100 Tahun Piala Malaysia pada Disember tahun lalu dan sudah pasti penajaan ini akan membawa satu lagi kerjasama lebih dinamik.

“Pos Malaysia, melalui perkhidmatan cemerlang telah berusaha gigih memastikan rakyat Malaysia terus terhubung terutamanya sepanjang pandemik Covid-19.

"Saya percaya Pos Malaysia sudah mempunyai jalinan yang kukuh bersama peminat bola sepak negara, sebagai pelanggan dan kakitangan, oleh itu kerjasama ini bakal menyemarakkan semangat komuniti bola sepak negara,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

MFL secara keseluruhannya, nyata berbangga menjalin Kerjasama bersama Pos Malaysia, peneraju perkhidmatan penghantaran di negara ini yang akan menguruskan logistik bagi peralatan bola sepak dan barangan lain dengan berat melebihi 100 tan ke seluruh Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, Pos Malaysia berbangga menjadi tulang belakang kepada semua pasukan bola sepak, khususnya dari segi menyampaikan sokongan penting melalui penyediaan khidmat logistik yang terbaik bagi pertandingan Piala Sumbangsih, Liga Super dan TM Piala Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berbekalkan kecemerlangan tahap perkhidmatan serta liputan rangkaiannya yang terbesar dan terluas di Malaysia, Pos Malaysia juga akan menguruskan keperluan logistik bagi MFL yang melibatkan penghantaran barangan melebihi 100 tan.

“Pos Malaysia komited dalam memastikan semua rakyat Malaysia sentiasa terhubung dan selama lebih 200 tahun, kami terus berusaha dan kekal berdaya saing bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada sembilan juta alamat di seluruh negara.

“Kami amat gembira kerana dapat menghubungkan pula rakyat Malaysia melalui semangat yang dikongsi bersama iaitu cinta terhadap bola sepak.

“Kancah bola sepak Malaysia amat gemilang dan meriah, Pos Malaysia juga komited dalam menyampaikan semangat dan cinta sama,” katanya.