Sektor pelancongan sedia terima pelancong asing

Pusat pelancongan Langkawi - Foto 123rf
Pusat pelancongan Langkawi - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Sektor pelancongan tempatan bersedia menyambut kedatangan pelancong asing ke negara ini sebaik sempadan negara dibuka tidak lama lagi.

Bagaimanapun Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusuf berkata, situasi itu bergantung kepada kebenaran negara luar untuk membolehkan rakyat mereka keluar melancong.

"Di pihak Tourism Malaysia, kita sangat menggalakkan kemasukan pelancong asing untuk menikmati produk-produk pelancongan yang ditawarkan," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran program My Destination Sabah and Labuan meet Johor and Putrajaya Roadshow, dekat sini pada Khamis.

Menurutnya, sebagai permulaan pengendalian pelancong asing tidak boleh dilakukan dalam kumpulan yang besar susulan Covid-19.

"Mungkin tidak lagi tetapi boleh dikendalikan dalam kumpulan yang kecil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, produk pelancongan yang ditawarkan adalah bergantung kepada permintaan.

"Kebiasaan pasaran yang ditawarkan adalah berbeza mengikut citarasa mereka," katanya.

Ujarnya, antara produk yang boleh ditawarkan kepada pelancong asing dan tempatan adalah pelancongan berpengalaman.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (pelancong) mahu pelancongan yang memberi pengalaman dan menikmati gaya hidup masyarakat setempat," katanya.

Iskandar yang juga menanggung tugas Timbalan Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia berkata, konservasi budaya, alam sekitar juga sedia untuk diketengahkan.

"Produk pelancongan ini sebenarnya membantu masyarakat setempat melindungi alam sekitar," katanya.

Kerajaan sebelum ini dilapor akan membuka sempadan negara pada suku kedua tahun ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan masa untuk memperhalusi SOP.