Liverpool tak ‘kejar’ teraju EPL

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menyempurnakan dua sepakan penalti pada perlawanan berkenaan. - Foto AFP
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah menyempurnakan dua sepakan penalti pada perlawanan berkenaan. - Foto AFP
A
A
A

BIARPUN hampir memintas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City hasil kemenangan 6-0 ke atas Leeds United pada Khamis, namun pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan skuad kendaliannya itu tidak ‘mengejar’ kedudukan berkenaan.

Sebaliknya menurut Klopp, dia mahu skuad kendaliannya itu memberikan fokus bagi mengharungi aksi final Piala Liga berdepan Chelsea pada Ahad.

“Kita semakin hampir untuk memintas City, tetapi secara jujurnya kami tidak ‘mengejar’ kedudukan mereka.

“Ini kerana kami akan beraksi pada final Piala Liga Ahad ini dan City pula bakal berdepan Everton bagi saingan EPL yang dilihat sebagai ‘kemenangan’ buat mereka.

“Oleh itu, kemenangan City akan menjadikan kita ketinggalan enam mata sekali lagi dengan mereka dan mungkin juga sembilan mata kerana kami sendiri tidak tahu bilakah kami akan kembali beraksi dalam saingan EPL,” katanya.

Pada aksi berdepan Leeds, duo serangan Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane meledak dua gol setiap seorang selain Joel Matip dan Virgil van Dijk masing-masing menjaringkan satu gol bagi melengkapkan kemenangan berkenaan.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan The Reds meraih 60 mata setelah mengharungi 26 perlawanan setakat ini.

Sementara itu Klopp percaya skuad kendaliannya itu bakal berdepan cabaran sengit berdepan Chelsea pada aksi final Piala Liga, Ahad ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Klopp berharap kesebelasan The Reds telah bersedia bagi mengharungi aksi getir berkenaan.

“Saya percaya kita akan berdepan tugas berat berdepan Chelsea, tetapi dalam masa sama, saya juga yakin bahawa Liverpool adalah sebuah pasukan yang baik.

“Dengan berpegang kepada keyakinan itu saya berharap kejayaan akan berpihak kepada kita nanti,” katanya.