Polis buru dua lelaki bersenjata parang samun kedai runcit

Tangkap layar video tular memaparkan dua lelaki bertopi keledar menyamun sebuah kedai runcit di Menglembu.
Tangkap layar video tular memaparkan dua lelaki bertopi keledar menyamun sebuah kedai runcit di Menglembu.
A
A
A

IPOH - Polis memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjatakan parang sebuah kedai runcit di Menglembu di sini pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1,600.

Menurutnya, kejadian itu berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial.

"Dua suspek disyaki warga tempatan bersenjatakan parang telah masuk ke kedai berkenaan sekitar jam 6 petang.

"Dalam rakaman itu, suspek memaksa pekerja-pekerja kedai menyerahkan barangan peribadi selain menyelongkar kaunter juruwang sebelum beredar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mior Faridalathrash berkata, laporan polis telah diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Fadli Ahmad di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, video berdurasi seminit 16 saat itu memaparkan dua lelaki bertopi keledar dan berpakaian gelap menyerbu masuk kedai runcit dengan salah seorang daripada mereka memegang sebilah parang.

Artikel Berkaitan: