Suspek langgar lari, curi kenderaan di LPT2 ditahan di Kuantan

Wan Mohd Zahari (kanan) bertanyakan sesuatu kepada suspek (dua dari kiri) sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada Rabu.
Wan Mohd Zahari (kanan) bertanyakan sesuatu kepada suspek (dua dari kiri) sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Salah seorang suspek yang melarikan diri selepas melanggar mati penunggang motosikal dan mencuri sebuah kenderaan lain di Kilometer 269 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman Isnin lalu ditahan dalam Ops Sarang Khas pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek berusia lingkungan 20-an ditahan bersama seorang rakan di sebuah inap desa di Jaya Gading di sini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta digunakan suspek, polis menemui dan merampas dadah jenis methamphetamine seberat 55.20 gram dan syabu sebanyak 5.14 gram.

"Hasil semakan ke atas suspek mendapati salah seorang daripada mereka merupakan pemandu kereta yang dikehendaki berkait kes langgar lari dan melarikan kenderaan di LPT2, Kemaman baru-baru ini.

"Suspek bersama rakannya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Ops Sarang Khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini pada Rabu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 269, LPT2 berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh, Kemaman pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa yang merupakan seorang pesara, Zolkafli Ahmad, 57, maut di lokasi kejadian.

Kedua-dua suspek yang kemudiannya berhenti di tepi lebuh raya berikutan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mengalami kerosakan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian itu, suspek bertindak melarikan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina milik seorang lelaki sebelum kenderaan itu berjaya ditemui di sini kira-kira jam 5.30 petang Isnin.