Sila log masuk terlebih dahulu.

Rosmah mengadu masalah disiplin Rizal

Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding bela diri terhadap pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion berlangsung, pembelaan menutup kesnya pada Rabu.
Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi prosiding bela diri terhadap pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion berlangsung, pembelaan menutup kesnya pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, Datin Seri Rosmah Mansor pernah mengadu mengenai masalah disiplin membabitkan Datuk Rizal Mansor.

Ketika prosiding bela diri Rosmah yang dituduh atas kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod berkata, Rizal sering bertindak tanpa merujuk Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad terlebih dahulu.

Bukan itu sahaja, Siti Azizah, 73, berkata, Rizal jarang berada di pejabat di Putrajaya kerana menetap di Kuala Lumpur dan tidak mahir dalam penulisan teks ucapan.

“Selaku pegawai media, memang tugas dia mempertahankan Rosmah, tapi dia tak boleh kerja secara bebas.

“Semua kenyataan mesti dapat kebenaran Tengku Sharifuddin supaya tidak timbul isu seorang cakap lain, seorang lagi cakap lain,” katanya.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Siti Azizah yang juga saksi pembelaan kedua berkata, jabatan tidak pernah mengambil tindakan terhadap Rizal yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Media FLOM.

Siti Azizah: Dah dewasa, jadi kita tak disiplinkan dia, cuma saya nasihatkan supaya dia lebih berdisiplin, sebab kita kerja di jabatan tertinggi di Negara ini.

Sri Ram: Boleh Datuk Seri sahkan, dalam beberapa tahun berkhidmat, gred kerja Rizal dinaikkan beberapa kali.

Artikel Berkaitan:

Siti Azizah: Kita ada sistem dalam kenaikan pangkat, ia naik secara automatik, jadi itu yang terjadi kepada Rizal.

Sri Ram: Masih lagi automatik jika dia langsung tidak berguna?

Siti Azizah: Saya tak setuju yang dia langsung tidak berguna, saya tak nafikan, Rizal buat kerjanya, dia berjaya wujudkan hubungan baik dengan media, sesuai dengan latar belakangnya sebagai bekas petugas di agensi media tempatan.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, pembelaan menutup kesnya pada Rabu, selepas 42 hari prosiding bela diri Rosmah berlangsung.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 April depan untuk mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

Hakim Mohamed Zaini berkata, pendakwaan perlu memfailkan hujahan bertulis pada 9 Mac manakala 30 Mac untuk hujahan balasan daripada pasukan pembelaan.

Rosmah, 71, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas Pegawai Khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan (KPM).