PRN Johor: Jangan ulang kisah lalu

Perang bendera sudah bermula di beberapa kawasan walaupun tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor belum lagi bermula secara rasmi. - Gambar hiasan
Perang bendera sudah bermula di beberapa kawasan walaupun tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor belum lagi bermula secara rasmi. - Gambar hiasan
A
A
A

PERANG bendera sudah bermula di beberapa kawasan walaupun tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor belum lagi bermula secara rasmi.

Suasana itu dilaporkan media apabila bendera parti mula kelihatan dipasang terutama di premis dan kawasan milik persendirian sekitar Kampung Lenga, Gombang, Bukit Kepong dan Kampung Tui di Muar sejak beberapa hari lalu.

Menerusi laporan sama, ‘bakal calon’ yang bertanding kini mula menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok untuk mendekati pengundi.

Bahang PRN Johor sudah pastinya menjadi lebih hangat apabila petugas pilihan raya parti mula menerima arahan untuk menggerakkan jentera kempen dengan lebih agresif.

Malah, penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal serta ziarah rumah ke rumah bersyarat dibenarkan sepanjang 14 hari tempoh berkempen PRN Johor.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), ceramah-ceramah dan kempen hanya dibenarkan di pejabat parti serta bilik gerakan parti yang rasmi dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Penganjur juga perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ceramah, syarahan dan kempen.

Tempohnya pula hanya dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam, manakala ceramah, kempen dan syarahan di premis yang terbuka atau tempat umum adalah tidak dibenarkan. Sebarang bentuk hiburan semasa berkempen juga tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Untuk SOP kempen ziarah rumah ke rumah, penyertaan tidak melebihi lima orang, namun tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau berjumpa dengan ahli rumah dan edaran risalah perlu dibuat di luar pagar sahaja.

Bagaimanapun, seperkara yang sangat penting adalah harapan rakyat Malaysia agar PRN Johor tidak membawa ‘bencana’ gelombang Covid-19 seperti yang berlaku ketika PRN Sabah dan PRN Melaka.

Justeru, semua pihak yang terlibat dalam ceramah secara bersemuka atau apa sahaja aktiviti sepanjang PRN Johor perlu mematuhi SOP kendiri. Jika tidak, peningkatan kes mendadak boleh berlaku.

Agak merisaukan, PRN Johor belum diadakan tetapi sudah kedengaran ada petugas parti, malah wartawan sudah dijangkiti. Keadaan itu sangat berisiko.

Ia berlaku ketika parti politik meminta SOP dilonggarkan dan SPR telah pun melonggarkannya kerana mahu meningkatkan penyertaan rakyat serta calon lebih aktif agar boleh didekati pengundi.

Jadi, semua pihak termasuk pemegang taruh, calon, jentera, petugas parti, SPR dan kakitangan kesihatan perlu mematuhi SOP kendiri supaya jangkitan tidak merebak, bukan sahaja sepanjang tempoh berkempen, malah pasca pilihan raya.

Pemimpin perlu menjadi contoh kepada masyarakat setempat dan bukannya melanggar SOP kerana mempunyai kuasa dan jangan diulangi peristiwa lalu sehingga wujud istilah golongan kayangan serta rakyat marhaen.

Jika gambaran itu terus disajikan kepada masyarakat, tidak mustahil lebih banyak pelanggaran SOP akan berlaku kerana pemimpin sendiri tidak mengendahkannya.

Kelonggaran sudah diberikan maka semua pihak kena jaga, jangan jadi punca penularan dan peningkatan kes positif Covid-19 selepas berlangsungnya PRN Johor. Itulah yang membimbangkan kita semua.

Mengikut data daripada pihak SPR, seramai 2,597,742 pengundi layak bakal mengundi pada PRN Johor yang melibatkan 2,574,835 pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan, selain 376 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Semoga PRN Johor pada 12 Mac ini akan berjalan dengan lancar. Walaupun risau, kita perlu belajar kembali kepada keadaan asal dengan norma baharu. Yang penting, patuhilah SOP yang ditetapkan.

* Norhafiza Musa ialah Penolong Penerbit Berita dan Program Sinar Harian