Mahkamah tolak permohonan Najib gantung prosiding saman SRC

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggantung prosiding saman sivil AS$1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadapnya.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata Najib, 68, tidak akan diprejudis jika saman itu diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata mahkamah berpandangan bahawa keputusan rayuan dan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada peringkat ini adalah bersifat spekulatif semata-mata.

"Bagaimanapun, apa jua keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan tidak menghalang defendan (Najib) daripada membuat pindaan kepada tuntutannya, tertakluk kepada permohonan yang dibuat dan pendedahan pernyataan pembelaan juga tidak akan memprejudis defendan.

"Permohonan untuk menggantung prosiding semasa sehingga tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi defendan diputuskan juga tidak dibenarkan kerana garis masa belum ditentukan. Justeru, Mahkamah berpandangan pengurusan saman ini perlu diteruskan dan adalah penting defendan memfailkan pembelaan bagi memastikan saman ini berjalan dengan efisien,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara maya pada Selasa.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Februari ini untuk pengurusan lanjut kes itu dan Najib turut diarah memfailkan pernyataan pembelaannya menjelang 31 Mac depan.

Peguam Harvinderjit Singh hadir bagi pihak Najib manakala Datuk DP Naban mewakili SRC, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semasa prosiding sebelum ini, Harvinderjit berhujah bahawa Najib ingin menangguhkan prosiding saman itu sehingga pelupusan penuh kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang kini di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Mei tahun lepas, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan.

SRC mendakwa Najib telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 7 Disember tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC selepas menolak rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada hari sama, Najib memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. - Bernama