Harimau Muda masih capai objektif

Penyerang negara, Nur Azfar Fikri Azhar diasak pertahanan Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan AFF 2022 di Stadium Morodok Techo pada Isnin. - Foto: FB FAM
Penyerang negara, Nur Azfar Fikri Azhar diasak pertahanan Laos dalam aksi kedua Kumpulan B Kejuaraan AFF 2022 di Stadium Morodok Techo pada Isnin. - Foto: FB FAM
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 tahun (B-23), Brad Maloney tidak menganggap prestasi buruk anak-anak buahnya pada Kejuaraan AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja sebagai satu kegagalan.

Sebaliknya, Maloney percaya skuad Harimau Muda itu telah mencapai objektif sebenar apabila beberapa pemain yang tidak pernah beraksi di peringkat antarabangsa telah mendapat peluang berbuat demikian.

Malah, beliau memberitahu, pendedahan itu dapat memberikan barisan pemain muda negara berkenaan pengalaman terbaik bagi mengharungi aksi antarabangsa pada masa hadapan.

“Sejak peringkat awal, kita sudah menetapkan objektif untuk memberikan peluang kepada seramai mungkin pemain baharu beraksi di peringkat antarabangsa.

“Sebab itulah daripada kejohanan ini, kita dapat saksikan seramai enam hingga tujuh pemain baharu diberikan pengalaman beraksi dalam dua perlawanan menentang Laos. Ia pastinya memberikan mereka satu pengalaman yang cukup berguna. Jadi apa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai kegagalan?

“Saya percaya skuad ini mampu untuk menghasilkan kejayaan yang diharap-harapkan oleh peminat bola sepak negara suatu hari nanti,” katanya ketika sidang akhbar secara maya pada Selasa.

Skuad bimbingan Maloney terpaksa pulang awal dari bumi Kemboja selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Laos dalam aksi Kumpulan B.

Selepas tewas 1-2 dalam aksi sulung di Stadium Prince pada Jumaat lalu, anak-anak buah Maloney sekali lagi gagal menyaingi Laos apabila mengalami kekalahan 0-2 di Stadium Morodok Techo pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dua kekalahan itu menyaksikan Harimau Muda seakan-akan mengikut jejak langkah ‘abang’ mereka - Harimau Malaya yang tersingkir awal pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura penghujung tahun lalu.

“Bagi saya, sudah tentu keputusan perlawanan ini sesuatu yang cukup mengecewakan. Namun, masih ada beberapa perkara positif yang boleh diambil.

“Antaranya kita telah menampilkan enam pemain di peringkat antarabangsa yang dilihat sesuatu perkembangan cukup baik.

“Sekarang kita hanya perlu memperbaiki beberapa perkara dan terus memandang ke hadapan,” jelas pengendali kelahiran Australia itu.