Kerajaan Selangor akur keputusan Mahkamah Persekutuan

Ng Suee Lim
Ng Suee Lim
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerajaan negeri Selangor akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tiada bidang kuasa untuk menggubal enakmen yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah mendengar semakan kehakiman berhubung keputusan dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Susulan itu, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, selepas ini pihaknya yakin perkara sedemikian dapat dikurangkan dengan adanya panduan daripada Mahkamah Persekutuan.

"Saya sebagai Speaker dan ketua legislatif Selangor bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kerajaan negeri akur dan menghormati keputusan tersebut.

"Kita tahu undang-undang negeri dan persekutuan (undang-undang) ada bercanggah, ia perkara biasa. Namun apabila mahkamah memutuskan (keputusan) kita akur dan kerajaan negeri perlu faham dengan perkara tersebut,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah bagi pelajar terjejas banjir tahun lepas di Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam pada Selasa.

Pada 22 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada Sister In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan.

SIS memohon kebenaran itu untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah.

Mengenai kebarangkalian kes Covid-19 terus meningkat semasa sidang DUN bermula 14 hingga 25 Mac depan, ADUN Sekinchan itu berkata, jika perkara terbabit berlaku berkemungkinan ujian saringan secara harian akan dilakukan ke atas kesemua ADUN dan pegawai terlibat berbanding saringan dua kali seminggu sebelum ini.

Suee Lim berkata, untuk sidang DUN kali ini akan membabitkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi memberi lebih banyak bantuan kepada mangsa banjir serta rancangan dan projek untuk mengatasi banjir di negeri itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: