Subsidi ayam, telur kawal kenaikan harga

Nik Muhammad Zawawi (tiga dari kanan) melihat jerami padi selepas lawatan kerja ke Program SMART SBB di Tali Air 3 Sekinchan di sini pada Selasa.
Nik Muhammad Zawawi (tiga dari kanan) melihat jerami padi selepas lawatan kerja ke Program SMART SBB di Tali Air 3 Sekinchan di sini pada Selasa.
A
A
A

SEKINCHAN - [DIKEMASKINI] Keputusan kerajaan memberi subsidi ayam dan telur ayam kepada penternak berjaya menstabilkan semula harga itu di pasaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, perbelanjaan subsidi berjumlah kira-kira RM500 juta dalam tempoh empat bulan itu dapat mengelakkan harga ayam dan telur ayam terus melambung tinggi.

Menurutnya, isu kenaikan harga ayam tidak dapat dikawal berikutan kos makanan ayam yang diimport dari Brazil tidak mencukupi.

"Bukan negara kita sahaja mengalami kenaikan harga ayam, malah di Jordan harga ayam mencecah RM18 sekilogram, manakala Dubai RM19 sekilogram dan begitu juga dengan Mesir yang turut mengalami kenaikan harga ayam.

"Ini menunjukkan kenaikan harga ayam di negara lain lebih teruk berbanding di negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Tali Air 3 Sekinchan di sini pada Selasa.

Nik Muhammad Zawawi berkata, kerajaan juga terpaksa menghentikan import ayam di Thailand berikutan harganya yang jauh lebih mahal.

"Tidak adil salahkan kerajaan semata-mata kerana kita sudah bantu mengikut kemampuan negara.

"Malaysia satu-satunya di Asia Tenggara memberi subsidi kepada rakyat walaupun dalam keadaan pandemik. Banyak negara sudah hentikan bantuan disebabkan tidak berkemampuan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk memberi subsidi 60 sen sekilogram ayam dan lima sen sebiji telur kepada penternak ayam berkuat kuasa 5 Februari hingga 4 Jun depan.

Usaha itu dilakukan dalam usaha mengurangkan beban golongan itu dan menstabilkan bekalan.