Identiti suspek langgar lari, curi kereta dikenal pasti

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, polis mengesan pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 269, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh, di sini pada Isnin.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, polis mengesan pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 269, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh, di sini pada Isnin.
A
A
A

KEMAMAN – Identiti pemandu dan penumpang Perodua Myvi yang melanggar seorang pesara serta melarikan kenderaan seorang pemuda di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh pada Isnin sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek merupakan lelaki berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an serta berasal dari Kuantan, Pahang.

Menurutnya, salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

“Polis sedang berusaha mengesan kedua-dua suspek dan kita minta mereka beri kerjasama dengan tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Hanyan berkata, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina milik seorang pemuda yang dicuri suspek juga berjaya ditemui di Kuantan, Pahang kira-kira jam 5.30 petang Isnin.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Myvi dinaiki suspek merupakan kenderaan sewa milik seorang guru yang disewakan kepada seorang wanita lain.

“Kita sedang jejaki wanita ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 269, LPT2 berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa yang merupakan seorang pesara, Zolkafli Ahmad, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kedua-dua suspek yang kemudiannya tersadai di tepi lebuhraya berikutan Perodua Myvi dinaiki mengalami kerosakan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, berjaya dikesan seorang pemuda.

Bagaimanapun, kedua-kedua suspek bertindak melarikan kenderaan Grand Livina milik pemuda berkenaan.