Ceroboh hutan tanam pokok durian musang king

JPNP melakukan kerja-kerja memusnahkan pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di dalam hutan Sungai Lembing.
JPNP melakukan kerja-kerja memusnahkan pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di dalam hutan Sungai Lembing.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah mengesan satu pencerobohan haram tanah seluas lapan hektar milik kerajaan Pahang di kawasan hutan Sungai Lembing di sini pada Isnin.

Pegawai Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, daripada jumlah itu, sebanyak kira-kira satu hektar telah digunakan bagi tujuan pertanian membabitkan tanaman durian musang king, pisang dan beberapa jenis tanaman lain.

Menurutnya, lebih 2,500 pokok durian dikesan ditanam secara haram dan akan dimusnahkan secara berperingkat dalam masa terdekat.

"Semalam (Isnin) kita sudah berjaya menebang lebih 200 pokok durian musang king berusia antara empat hingga lima tahun dan bakinya akan musnahkan selepas ini.

"Selain tanaman durian, kita juga akan musnahkan rumah kongsi dan rumah kuasa solar yang terdapat dalam kawasan hutan milik kerajaan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Kampung Kolong Pahat dan Kampung Seberang, Sungai Lembing melibatkan seramai 110 anggota penguat kuasa JPNP, Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dan Unit Penguat Kuasa Negeri Pahang (UPNP).

Turut sama memantau hari pertama operasi berkenaan ialah Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

Norshazlee menjelaskan, penyertaan penduduk setempat dalam operasi yang diadakan membuktikan kegiatan menceroboh tanah milik kerajaan tidak disenangi oleh mereka.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, tindakan pencerobohan hutan boleh mengundang kejadian tidak diingini seperti hakisan dan banjir lumpur yang boleh mengancam nyawa penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang didapati sesuka hati menceroboh tanah milik kerajaan termasuk hutan simpan di daerah ini.

"Malah, kita akan terus memantau kawasan terbabit bagi memastikan tiada pihak cuba menceroboh hutan berkenaan.

"Tindakan boleh dikenakan pada individu yang melanggar peraturan," katanya yang turut berharap semua pihak dapat bekerjasama memberi maklumat sekiranya mengetahui aktiviti menceroboh hutan dilakukan.