15 termasuk tokan dadah masuk perangkap

Polis berjaya menahan 15 lelaki dalam serbuan 'port' menghisap dadah di sebuah kebun kelapa sawit di Beruas. - Foto ihsan PDRM
Polis berjaya menahan 15 lelaki dalam serbuan 'port' menghisap dadah di sebuah kebun kelapa sawit di Beruas. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

LUMUT - Taktik sering menukar tempat bagi mendapatkan bekalan dadah tidak berhasil apabila seramai 15 penagih tegar, termasuk dua tokan ditahan dalam Op Sarang Khas/Op Cegah Jenayah di sebuah kebun kelapa sawit di Beruas di sini, pada Isnin.

Operasi selama lapan jam itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan anggota Balai Polis Beruas.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kesemua lelaki berusia 21 hingga 61 tahun itu ditahan bersama 337 gram dadah jenis heroin dan syabu serta dua biji pil eramin 5 bernilai RM13,168.

Menurutnya, siasatan mendapati kegiatan itu sudah aktif sejak tiga minggu lalu.

"Port' menghisap dadah berkenaan dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang dengan seorang penagih akan membuat tinjauan terlebih dahulu.

"Sekiranya 'line clear', penagih tersebut akan menghubungi pengedar untuk masuk ke dalam. Kegiatan ini sering bertukar lokasi bagi mengaburi polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Nor Omar berkata, peralatan menghisap turut dirampas dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin.

"Dua tokan berusia 38 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) manakala 12 yang lain disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara Fasa 4) iaitu aktiviti kehadiran ramai sehingga menyukarkan penjarakan sosial semasa menghisap dadah," katanya.