Suspek bunuh serah diri mengaku tikam mangsa

Polis menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian tempat mangsa ditikam hingga berlumuran darah. - Foto ihsan pembaca, gambar kecil: Anuar
Polis menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian tempat mangsa ditikam hingga berlumuran darah. - Foto ihsan pembaca, gambar kecil: Anuar
A
A
A

PARIT BUNTAR - Seorang lelaki menyerah diri kepada polis selepas mengaku menikam pemilik sebuah bengkel motosikal hingga berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Titi Serong, Tanjung Piandang di sini pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, lelaki berusia 52 tahun yang bekerja sebagai peniaga itu datang ke Balai Polis Simpang Lima sekitar jam 2.45 petang.

"Suspek memberitahu anggota bertugas di kaunter aduan bahawa dia telah menikam seorang lelaki menggunakan pisau.

"Polis menjadikan ia sebagai maklumat pertama dan menahan lelaki itu untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, mangsa Tan Hee Song, 43, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Parit Buntar selepas mengalami cedera parah akibat ditikam suspek menggunakan pisau.

Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

"Suspek menuduh mangsa telah menukar beberapa komponen motosikal miliknya ketika dihantar ke bengkel berkenaan tiga minggu lalu.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kejadian berkenaan tular di media sosial selepas dua klip video menunjukkan lokasi kejadian dan kesan darah dipercayai tempat mangsa ditikam dikongsi di aplikasi WhatsApp.