BATC: Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah buat skuad lelaki kebangsaan

Pasukan badminton lelaki negara muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City selepas 
Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 3-0 pada peringkat akhir kejohanan itu pada Ahad. - Foto Bernama
Pasukan badminton lelaki negara muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City selepas 
Malaysia berjaya menewaskan Indonesia 3-0 pada peringkat akhir kejohanan itu pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad badminton lelaki kebangsaan atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 pada Ahad..

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara pada Isnin, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang itu kerana pasukan badminton negara mencipta sejarah selepas muncul juara kejohanan itu buat pertama kali dengan menewaskan juara bertahan Indonesia 3-0.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada pasukan badminton kebangsaan untuk terus berlatih lebih keras dan melakar kejayaan di kejohanan-kejohanan mendatang serta mengharumkan nama negara di persada dunia," demikian menurut catatan itu.

Pada Ahad, skuad lelaki negara mencipta sejarah selepas muncul juara BATC buat pertama kali dengan menewaskan Indonesia sekali gus menyekat hasrat musuh tradisi tersebut daripada menjuarai gelaran buat kali keempat berturut-turut pada kejohanan yang bermula sejak 2016 itu.

Kejohanan dwitahunan itu juga merupakan pentas kelayakan bagi saingan Piala Thomas dan Uber dengan empat pasukan terbaik layak ke acara berpasukan berkenaan yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Mei depan. - Bernama

Artikel Berkaitan: