Kemenangan United lambang keharmonian

Maguire (kanan) diraikan rakan sepasukannya selepas berjaya mencetak gol pertama ketika menang 4-2 ke atas Leeds.
Maguire (kanan) diraikan rakan sepasukannya selepas berjaya mencetak gol pertama ketika menang 4-2 ke atas Leeds.
A
A
A

PENGENDALI sementara Manchester United, Ralf Rangnick menyifatkan kemenangan 4-2 ke atas Leeds United di Elland Road semalam merupakan jawapan terbaik kepada segala khabar angin yang mengatakan berlaku ketidakharmonian dalam pasukan itu sebelum ini.

Malah Rangnick turut memuji kebangkitan yang ditunjukkan pemain United pada separuh masa kedua untuk mengutip tiga mata penuh sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk berada di kelompok empat teratas liga.

"Kami tahu ia kemenangan penting, sama seperti ke atas West Ham. Kami tidak boleh kalah atau keciciran mata sekiranya mahu menghabiskan musim ini di kelompok empat terbaik.

"Saya memuji cara pasukan bermain pada perlawanan ini. Mereka bukan sahaja menang tetapi cara pasukan bertindak balas selepas melepaskan dua gol sangat baik.

"Ia menunjukkan kematangan dan perpaduan dalam pasukan ketika ini adalah bagus. Kemenangan ini respons terbaik kepada laporan minggu lalu yang menyatakan terdapat salah faham dalam bilik persalinan kami," kata Rangnick.

Pada perlawanan tersebut, gol separuh masa pertama daripada Harry Maguire dan Bruno Fernandes meletakkan pelawat selesa memimpin perlawanan, namun dua gol pantas daripada Rodrigo dan Raphinha menyamakan kedudukan buat Leeds.

Bagaimanapun, pemain gantian, Fred dan Anthony Elanga, kedua-duanya menemui sasaran pemusnah untuk memastikan kemenangan berturut-turut buat anak buah Rangnick itu.

Kemenangan itu menyaksikan United kini berada di tangga keempat dengan mengutip 46 mata dalam 26 perlawanan.

Artikel Berkaitan: