32 tangki statik bantu 33,000 penduduk alami masalah bekalan air

Mansor (kanan) mengadakan sesi dialog dengan wakil penduduk, SPAN dan PBAPP bagi mencari penyelesaian masalah bekalan air di 14 penempatan sekitar Nibong Tebal pada Ahad.
Mansor (kanan) mengadakan sesi dialog dengan wakil penduduk, SPAN dan PBAPP bagi mencari penyelesaian masalah bekalan air di 14 penempatan sekitar Nibong Tebal pada Ahad.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Sebanyak 16 tangki statik komuniti lagi ditambah di beberapa lokasi strategik di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini dalam usaha jangka pendek untuk menangani masalah bekalan air di kawasan terbabit.

Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan tangki statik di kawasan berkenaan adalah 32 buah, yang mana sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sudah menempatkan 16 tangki di lokasi kritikal.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman berkata, penambahan bilangan tangki itu ditanggung sepenuhnya oleh pusat khidmatnya dengan melibatkan kos RM16,000.

Bagaimanapun menurutnya, usaha itu merupakan langkah jangka pendek sebelum langkah mitigasi jangka panjang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah di 14 kawasan penempatan di Nibong Tebal.

"PBAPP telah membentangkan langkah yang telah dan akan diambil antaranya mempergiatkan usaha mengesan kebocoran serta pembaikan paip bermasalah. Selain itu, mereka juga telah menempatkan 16 tangki statik di lokasi strategik yang dikenal pasti.

"Bagaimanapun, saya melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal akan menambah 16 buah tangki lagi bagi memastikan penduduk yang terlibat tidak dibelenggu masalah bekalan air," katanya pada sidang akhbar selepas sesi dialog bersama wakil penduduk, PBAPP dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di sini pada Ahad.

Tambah Mansor, hanya tangki yang dibekalkan oleh pihaknya sahaja akan diletakkan secara statik di lokasi yang dikenal pasti sebagai paling kritikal manakala tangki PBAPP akan berubah lokasi mengikut keadaan semasa.

"Masalah bekalan air ini bukan sentiasa berlaku, ada masa-masanya. Saya difahamkan, waktu yang mengalami gangguan adalah dari jam 6 pagi hingga 9 pagi, 12 tengah hari dan 6 petang hingga 10 malam. Setiap tangki mampu menyediakan 1,000 liter air.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, dari Disember hingga Mac juga dilaporkan antara tempoh yang kerap mengalami gangguan kerana sepanjang tempoh ini, berlaku musim panas, cuti sekolah dan musim perayaan. Oleh itu, tangki-tangki ini akan digunakan ketika gangguan sahaja," katanya.

Jelasnya lagi, sebagi usaha jangka panjang pula, sebanyak lima projek telah dimaklumkan oleh PBAPP antaranya menaik taraf tangki pemendapan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Air Fasa 2 dan Pakej 12A (projek modul rawatan air baharu) LRA Sungai Dua.

"PBAPP juga akan melaksanakan Fasa 1 LRA Empangan Mengkuang, Fasa 1 LRA Sungai Muda dan Skim Bekalan Air Sungai Perai Baharu (projek proses pra-rawatan).

"Kesemua projek akan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk disiapkan. Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan. Sekiranya siap, ia akan memberi tambahan 569 juta Liter Air Terawat Sehari (JLH) kepada 180 JLH pada waktu ini," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, gangguan bekalan air tersebut melibatkan 14 kawasan penempatan sekitar Nibong Tebal melibatkan 33,000 penduduk sejak 2020.

Antara kawasan penempatan terlibat adalah Taman Sintar Indah; Taman Cenderawasih Indah; Taman Widuri; Taman Seruling Emas, Kampung Sungai Duri dan Sungai Baong.

Menurutnya, kebanyakannya penduduk terlibat adalah mereka yang tinggal di kawasan tinggi atau di hujung paip agihan.

"Semakan SPAN mendapati, gangguan bekalan air yang dialami adalah tekanan air rendah yang disebabkan peningkatan penggunaan pengguna domestik dan pihak industri. Selain itu, peningkatan aktiviti sosio ekonomi dan pembangunan pesat di Seberang Perai Selatan terutamanya di Batu Kawan antara penyebab kepada penggunaan yang tinggi.

"Selain itu, cuaca panas berpanjangan, isu kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung dan musim perayaan turut menyumbang kepada masalah ini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan SPAN sehingga 16 Februari lalu, masalah tekanan air rendah di kawasan terlibat kembali stabil namun ia bukan bersifat kekal kerana dipengaruhi trend penggunaan semasa oleh pengguna domestik dan industri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penggerak (sementara) Sungai Bakap, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, sebagai wakil penduduk, pihaknya berpuas hati dengan perbincangan berkenaan.

Malah katanya, usaha Mansor dalam membekalkan tambahan 16 tangki statik juga amat dihargai.

"Pada Jumaat lalu, kami sudah mengadakan sesi dialog dengan Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari dan hari ini (Ahad), kami sekali lagi membincangkan perkara sama dengan Mansor. Kami membawa enam perkara untuk dibincangkan dan kami berpuas hati dengan apa yang dibincangkan dan dipersetujui.

"Terima kasih kepada Mansor dan kerajaan negeri kerana prihatin dengan masalah kami yang terpaksa dihadapi sejak beberapa tahun lalu. Saya harap, isu ini akan selesai segera selain memohon PBAPP melantik pegawai yang boleh dihubungi terus sekiranya berlaku gangguan bekalan air selepas ini.

"Ia bagi mengelakkan masalah komunikasi yang berlaku selama ini selain membolehkan penduduk membuat persiapan awal sekiranya berlaku masalah bekalan air," ujarnya.