Conte puji aksi Spurs tewaskan City

Conte -Foto: Bleacher Report
Conte -Foto: Bleacher Report
A
A
A

PENGENDALI Tottenham, Antonio Conte memuji persembahan yang ditampilkan pasukannya ketika menang 3-2 ke atas Manchester City pada Sabtu.

Menurut Conte, dia menyifatkan kemenangan ke atas pendahulu liga itu sebagai tonik buat pasukannya yang kini dalam misi merebut slot empat terbaik bagi melayakkan mereka untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah.

"Perlawanan ini sangat menarik. Kami bermain dengan baik dan pemain ikut segala perancangan yang ditetapkan iaitu bermain secara defensif.

"Meskipun kami bermain secara bertahan, kami berjaya mencipta beberapa peluang dan menjaringkan gol menentang pasukan yang hebat seperti City.

"Kemenangan ini sudah tentu akan meningkatkan keyakinan kami kerana ia bukan satu yang mudah untuk menang ke atas City selepas kalah tiga kali berturut sebelum ini," ujarnya.

Pada perlawanan tersebut, Spurs berjaya mendahului perlawanan seawal minit keempat melalui Dejan Kulusevski sebelum City menyamakan kedudukan menerusi gol Ilkay Gundogan minit ke-33.

Harry Kane kemudiannya meledak gol kedua minit ke-59 namun Mahrez muncul penyelamat City apabila menyamakan kedudukan di minit ke-92 menerusi sepakan penalti.

Bagaimanapun Kane memusnahkan impian tuan rumah untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata apabila menjaringkan gol kemenangan di penghujung masa kecederaan.

Artikel Berkaitan: