Jangan pandang sebelah mata isu anak mualaf di Perlis

Fahmi Bazlan
Fahmi Bazlan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mendakwa tiada mana-mana pemimpin politik Melayu yang bersuara dalam isu penjagaan anak mualaf di Perlis.

Ketuanya, Fahmi Bazlan berkata, isu tersebut terus menjadi tanda tanya sedangkan ia seharusnya mendapat tempat dan suara pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa negara.

"Isu ini isu Islam, sebagai agama Persekutuan seharusnya mendapat tempat dan suara pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Yang Dipertua Berjasa Bahagian Shah Alam turut mengecam kenyataan provokasi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy dalam isu berkenaan.

Menurutnya, pada hari ini pemimpin dan ahli politik DAP dilihat begitu lantang bersuara bagi mewakili suara majoriti masyarakat Cina, India, Kristian serta Hindu.

"Mereka terlalu rakus dan rasis, memperkudakan isu demi sokongan politik.

"Isu ini juga seolah mencurah minyak ke dalam api, lihat sahaja pada ruangan komen dan perbahasan netizen yang semakin hari semakin panas dengan isu-isu perkauman," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Berjasa memandang serius perkara itu kerana ia berkaitan dengan maruah dan kedaulatan negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam berperlembagaan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun isu ini berlaku ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sedang hangat, prinsip dan matlamat demi menjaga keharmonian negara perlu ditegakkan.

"Tiada kompromi dalam isu maslahat agama dan negara. Ibarat retak menanti belah, jangan sampai rakyat membuat keputusan sendiri," ujarnya.