11 pemandu mabuk, empat 'superman' dicekup JSPT

Sebanyak 408 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tiga hari di ibu negara sejak Jumaat.
Sebanyak 408 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tiga hari di ibu negara sejak Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menahan 11 pemandu mabuk, empat mat rempit dan dua penagih dadah dalam operasi tiga hari yang dijalankan di sekitar ibu negara di sini bermula Jumaat.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, secara keseluruhan sebanyak 408 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi tersebut.

Menurutnya, operasi diadakan di sekitar pusat bandar, Jalan Raja Laut, Jalan Temerloh, Jalan Titiwangsa, Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh).

"Tangkapan 11 lelaki yang berumur dalam lingkungan 26 hingga 60 tahun di bawah Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Tangkapan empat lelaki berusia dalam lingkungan 16 hingga 20 tahun yang menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, superman serta bersaing.

Empat 'superman' ditahan kerana menunggang secara berbahaya dan bersaing.
Empat 'superman' ditahan kerana menunggang secara berbahaya dan bersaing.

"Dua lelaki berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun pula ditangkap serta merampas dadah jenis Methamphetamine (syabu) dan heroin," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap dua lelaki yang membawa dadah berkenaan didapati positif dan mereka ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi serta IPD Cheras mengikut Seksyen 12(2)(e) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Dadah heroin yang ditemui dalam operasi penguatkuasaan JSPT di sekitar ibu negara.
Dadah heroin yang ditemui dalam operasi penguatkuasaan JSPT di sekitar ibu negara.

Menurut Sarifudin, tahanan selebihnya dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, Jalan Tun H.S Lee untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis turut menyita 21 buah motosikal di bawah Seksyen 64 APJ 1987 kerana menggunakan ekzos diubah suai.

"Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2071 9999 atau hotline 03-20260267/69.