Tiada arahan laksana BDR libatkan penjawat awam di Melaka: SUK

Zaidi - Foto Bernama
Zaidi - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Tiada arahan dikeluarkan di peringkat Persekutuan berkaitan bekerja dari rumah (BDR) atau sistem penggiliran melibatkan penjawat awam di Melaka, meskipun berlaku peningkatan kes harian Covid-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Zaidi Johari berkata setakat ini semua penjawat awam di Melaka masih bekerja mengikut ketetapan biasa dan jika berlaku penularan kes membabitkan satu-satu jabatan atau pejabat kerajaan negeri, hanya premis itu sahaja yang akan ditutup bagi membendung penularan.

"Memang benar ada kes jangkitan berlaku di kebanyakan jabatan dan agensi kerajaan, namun setakat ini semuanya masih terkawal.

Tetapi jika penularan itu meningkat dan memaksa penutupan pejabat, maka kita akan ikut saranan untuk menutup premis dan menguatkuasakan BDR, hanya kepada jabatan tersebut sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas kejohanan Melaka Tourism Golf Challenge 2022 di Ayer Keroh Country Club di sini pada Sabtu.

Tambahnya keperluan untuk menutup jabatan itu bergantung kepada ketua-ketua jabatan sebelum merujuk kepada Jabatan SUK negeri.

Setakat ini jelasnya, tiada pejabat kerajaan di Melaka ditutup sepenuhnya hingga memerlukan pelaksanaan BDR, sebaliknya premis yang ditutup hanyalah sementara bagi membolehkan pelaksanaan proses sanitasi dilakukan mengikut keluasan pejabat dan jabatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: