Polis tumpas dua sindiket, rampas dadah hampir RM1 juta

Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan dalam sidang akhbar, pada Jumaat.
Mohd Shuhaily (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan dalam sidang akhbar, pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan selama dua hari bermula 16 Februari lalu kerana terlibat dalam pengedaran dadah.

Jumlah dadah yang dirampas dalam kedua-dua serbuan tersebut bernilai hampir RM1 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 34, 46 dan 47 tahun di sebuah pangsapuri di Jelutong, di sini.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis merampas 15 bungkusan kertas berwarna coklat mengandungi 30 peket plastik pil kuda.

"Di dalam peket plastik itu, ia mengandungi 90,000 biji pil kuda bernilai RM900,000. Selain itu, kita turut merampas dua bungkus plastik mengandungi syabu seberat 1,930 gram bernilai RM69,500 serta 18 peket plastik mengandungi 27,000 pil psikotropik bernilai RM9,000.

"Kita juga menyita tiga kenderaan, barang kemas dan wang tunai bernilai RM30,000 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan adalah RM82,550. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM978,500," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Jelas Mohd Shuhaily, pil psikotropik itu sering dijual di tapak pembinaan di sekitar negeri ini untuk pekerja warga asing yang berada dalam kemurungan dan sukar tidur.

Katanya, kesemua tangkapan merupakan kontraktor binaan dan mempunyai dokumen yang sah malah salah seorang daripada mereka sudah 10 tahun tinggal di sini.

Artikel Berkaitan:

"Wanita berusia 34 tahun itu merupakan teman wanita kepada lelaki berusia 46 tahun berkenaan. Kesemua tangkapan tiada rekod jenayah selain ujian air kencing mereka juga negatif.

"Mereka aktif dalam sindiket pengedaran dadah ini sejak awal Mac 2021 dan semua dadah tersebut untuk pasaran tempatan. Dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 108,650 penagih," katanya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia 39, 42 dan 53 tahun dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah di Kubang Semang, Seberang Perai Tengah.

Mohd Shuhaily berkata, polis menahan dua lelaki di sebuah rumah dan merampas sebilangan dadah jenis ganja.

"Susulan daripada itu, kita menyerbu sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan dengan rumah pertama. Di rumah berkenaan, kita merampas wang tunai bernilai RM181,000 dan sebilangan ganja lagi.

"Tiga ketulan ganja yang dirampas bernilai RM2,375 manakala nilai keseluruhan sitaan dua kenderaan dan wang tunai berjumlah RM192,000. Mereka ini aktif sejak pertengahan tahun lalu dan bekalan dadah adalah untuk pasaran tempatan," katanya.

Tambahnya, lelaki berusia 39 dan 42 tahun itu bekerja sebagai buruh binaan manakala suspek berusia 53 tahun adalah petani.

"Hasil saringan air kencing ketiga-tiga suspek positif dadah dan mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah. Dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 1,900 penagih jika ia terlepas ke pasaran.

"Dengan itu, jumlah keseluruhan dadah dan sitaan bagi kedua-dua serbuan adalah RM1.25 juta. Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 23 Februari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.