Jeffrey Kitingan ketuai jawatankuasa khas berhubung pendatang asing

Jeffrey Kitingan
Jeffrey Kitingan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah bersetuju melantik Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sebagai pengerusi sebuah jawatankuasa yang baru diwujudkan, Jawatankuasa Khas Mengenai Pekerja serta Warga Asing Tanpa Dokumen Sah.

Jawatankuasa itu dipertanggungjawabkan bagi mengumpul input daripada penguat kuasa undang-undang, pemain industri, pemimpin politik dan pemimpin komuniti berhubung cara terbaik menangani isu berkaitan pekerja asing dan keluarga mereka yang tiada dokumen perjalanan lengkap.

Kitingan dalam kenyataan pada Rabu berkata, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju bahawa pendatang asing tanpa izin perlu didakwa dan dihantar pulang dengan segera.

"Negeri kita ini kini dibanjiri dengan kehadiran pendatang tanpa izin yang telah mengambil pekerjaan yang tidak diingini oleh rakyat kita.

"Mereka (pendatang) hilang dari ‘radar’ kita. Kita tidak tahu di mana mereka berada, siapa mereka, atau apa yang mereka lakukan. Jika kita tidak dimaklumkan tentang aktiviti mereka, kita mendedahkan rakyat kita kepada ancaman keselamatan serta berbahaya dari segi kesihatan,” katanya.

Kitingan berkata, sebagai pengerusi jawatankuasa itu, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua pasukan penguat kuasa undang-undang, majikan yang mengambil pekerja asing, pemimpin-pemimpin politik serta pemimpin masyarakat.

Menurutnya, selepas siri mesyuarat selesai dan data telah dikumpul, jawatankuasa itu akan membentangkan kertas kerja kepada kabinet untuk dibincangkan dengan lebih lanjut, dan diharapkan penyelesaian kepada masalah itu akan ditemui.

"Saya percaya kita akan dapat mencari penyelesaian terbaik kepada situasi ini selepas perbincangan meluas dengan semua pihak berkepentingan. Saya telah menetapkan tarikh akhir untuk membentangkan kertas kabinet ini dalam tempoh tiga bulan mulai hari ini, dan diharapkan keputusan itu dapat diterima oleh semua, terutama penduduk Sabah," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: