Warisan hanya mahu kerajaan Persekutuan: Mohd Shafie

Mohd Shafie ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Warisan Negeri Johor di sini pada Selasa
Mohd Shafie ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Pelancaran Warisan Negeri Johor di sini pada Selasa
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Warisan (Warisan) tidak berhasrat untuk menubuhkan kerajaan negeri walaupun membuat keputusan menjadi salah satu parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebaliknya keputusan terlibat dalam PRN itu hanyalah untuk menpersiapkan parti sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana objektif utama adalah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan.

“Kita bertanding untuk pastikan kesediaan kita bagi menghadapi PRU15 nanti. Ini kerana kita melihat untuk mengubah negara ini, kita perlu mengambil kerajaan Persekutuan dan selepas itu baru isu-isu nasional kita boleh atasi.

“Sebab apa, jika kita mahu selesaikan isu-isu seperti pengangguran, kesusahan rakyat ketika berdepan dengan pandemik ini malah mahu membawa pekerja Malaysia di Singapura itu bukan kuasa kerajaan negeri, itu tugas kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Warisan Negeri Johor di Sutera Utama di sini, pada Selasa.

Pada majlis sama, Mohd Shafie turut mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup yang juga Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Negeri Johor.

Dalam pada itu, ditanya mengenai penerimaan rakyat terhadap Warisan yang merupakan parti politik lahir dari Sabah, Mohd Shafie berkata, perkara itu seharusnya tidak dibangkitkan kerana situasi politik dalam negara kini sudah berbeza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, tugas utama Warisan kini adalah untuk merubah mentaliti rakyat terhadap parti Sabah dan juga menyediakan pilihan lain selain parti besar seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu sebelum ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) bertanding di Pulau Pinang, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga pernah bertanding di Perak. Tetapi siapa presiden mereka, Warisan Presiden dia Shafie Apdal, dia adalah pemimpin nasioanal.

“Mereka tidak dikenali di Pulau Pinang, tetapi saya bila balik pulau ramai keluarga, isteri saya orang Sungai Petani, menantu saya orang Wakaf Che Yeh. Saya telah berkhidmat untuk negara.

“Ini bukan masalah parti itu datang dari Sabah, dia tidak boleh memerintah dan diterima, jadi kami mahu ubah persepsi dan mentaliti ini,” katanya.