Borang cukai boleh dikemukakan mulai 1 Mac

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai boleh mengemukakan Borang Nyata Tahun Saraan 2021 dan Tahun Taksiran 2021 melalui e-Filing bagi Borang E, BE, B, M, BT, MT, P, TF dan TP mulai 1 Mac ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, pembayar cukai boleh mengakses sistem e-Filing melalui portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my.

Menurutnya, pembayar cukai yang log masuk kali pertama ke sistem e-Filing perlu mendapatkan nombor pengenalan peribadi (PIN) terlebih dahulu melalui borang maklum balas di portal rasmi LHDN atau hadir ke kaunter cawangan LHDN.

“Sekiranya pembayar cukai terlupa kata laluan e-Filing, tindakan set semula kata laluan tersebut boleh dilakukan secara dalam talian iaitu melalui e-mel atau nombor telefon bimbit yang berdaftar dengan LHDN.

“Bagi pembayar cukai yang masih menghadapi masalah dalam melakukan tindakan set semula kata laluan e-Filing, mereka boleh menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 (Dalam Negara) / 603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat atau kunjungi kaunter perkhidmatan LHDN yang berhampiran.

“Maklumat lanjut berkenaan Program Memfail Borang Nyata Bagi Tahun 2022 boleh dirujuk di portal rasmi www.hasil.gov.my atau klik pada pautan https://www.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf untuk capaian pantas,” katanya.

LHDN dalam kenyataan sama turut menyarankan pembayar cukai untuk mengemukakan borang nyata dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Katanya, status penghantaran borang nyata, proses bayaran balik, e-Lejar dan PCB boleh disemak melalui MyTax.

Artikel Berkaitan:

“Pembayar cukai dinasihatkan untuk memastikan semua dokumen seperti penyata pendapatan, resit, invois dan lain-lain dokumen berkaitan cukai pendapatan dikumpulkan, disusun dengan kemas serta disimpan dengan rapi sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 82 dan 82A Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Ia perlu dilakukan sebagai persediaan untuk memudahkan proses mengisi e-Filing dan semakan pematuhan oleh LHDN pada masa hadapan,” ujarnya.